Sistem tukar petugas sempadan tiap bulan kurang berkesan banteras kemasukan PATI, kata polis

Abdul Hamid Bador berkata, kealpaan kerana sikap sambil lewa dalam kalangan anggota keselamatan di sempadan negara dan ahli sindiket penyeludupan PATI yang berjaya menjalinkan hubungan dengan beberapa pihak berkuasa menyebabkan rasuah berlaku.

KUALA LUMPUR: Anggota keselamatan di sempadan negara yang bersekongkol dan mengambil rasuah daripada sindiket penyeludupan pendatang asing adalah pengkhianat negara, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, perbuatan menerima bayaran oleh mereka yang diberi tanggungjawab mengawal keselamatan itu membolehkan ribuan pendatang asing tanpa izin (PATI) membolosi sempadan negara.

“Saya menganggap perbuatan menerima rasuah dari sindiket tekong oleh mana-mana pihak berkuasa yang menjaga sempadan sebagai perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan ia adalah satu pengkhianatan terhadap negara,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman semalam.

Beliau berkata, walaupun terdapat penggiliran tugas sebulan sekali dalam kalangan pegawai dan anggota polis di sempadan, ia kurang berkesan dalam membanteras aktiviti rasuah yang membolehkan kemasukan PATI.

“Pegawai dan anggota polis di sempadan ditukar sebulan sekali, namun setelah bertahun penggiliran itu akan berputar kepada satu pasukan yang sering ditugaskan menjaga sempadan.

“Setelah itu, berlaku kealpaan yang mengambil sikap sambil lewa (menjaga sempadan negara) dan ahli sindiket yang berjaya menjalinkan hubungan dengan beberapa pihak berkuasa, maka berlakunya perbuatan mengambil rasuah, dari segi duit bayaran tertentu, sama ada secara bulanan atau mengikut kepala atau mengikut ‘trip’.”

Mengenai Op Benteng Covid-19, Hamid berkata, sehingga kini 80 orang didakwa kerana terlibat dalam kegiatan penyeludupan PATI dengan 22 kertas siasatan dibuka dan 11 lagi individu yang menjadi dalang sindiket itu sedang diburu.

Ditanya penggunaan kapal induk untuk membawa PATI, beliau berkata, taktik itu menyukarkan pihak berkuasa mendekati mereka yang berlabuh di tengah laut kerana berhampiran perairan negara jiran serta perairan antarabangsa.

“Mereka ini menggunakan kapal induk yang diisikan ratusan orang dan berlabuh di tengah laut dan ada sindiket yang membekalkan mereka dengan makanan setiap hari.”

Bulan lalu, 269 PATI membolosi perairan negara dengan sengaja membocor dan merosakkan enjin kapal untuk mengelak diusir pihak berkuasa ketika berada di perairan Malaysia.