Terlalu awal kaitkan PN mirip BN ambil tindakan ke atas penentang, kata penganalisis

Mohd Izani Mohd Zain dari Universiti Putra Malaysia berkata, lebih baik pentadbiran PN memastikan proses keadilan, perundangan dan kehakiman berjalan tanpa intimidasi politik serta campur tangan Putrajaya kerana ia boleh mendapat kepercayaan tinggi rakyat. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Terlalu awal untuk mengaitkan corak pentadbiran Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin mengambil pendekatan mirip kerajaan terdahulu Barisan Nasional (BN) yang dikritik kerana mengambil tindakan undang-undang terhadap penentangnya.

Penganalisis, Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, tidak dinafikan ada pemimpin pembangkang seperti Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang dipanggil memberi keterangan, namun belum ada tindakan diambil terhadap mereka.

“Mereka dipanggil selepas polis menerima aduan, memang siasatan akan dibuat. Cumanya isu yang lebih besar saya nampak ini adalah siasatan terhadap pemimpin DAP di Pulau Pinang, kalau benar seperti didakwa, ia boleh mencalarkan imej DAP.

“Kita kena tengok dahulu sejauh mana pendekatan ini berterusan. Kita perlu tunggu dan lihat kerana semasa zaman pentadbiran Pakatan Harapan, ada juga pemimpin pembangkang ketika itu dipanggil pihak berkuasa,” katanya kepada FMT.

Pada 18 Jun lalu, Syed Saddiq memberi keterangan di Bukit Aman berhubung kenyataannya yang didakwa berbaur hasutan dalam temubual bersama sebuah stesen televisyen antarabangsa pada 6 Mac lalu. Beliau disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Pada 23 Jun pula, Yeoh ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung tweetnya pada 9 Mac lalu mengenai isu perkahwinan bawah umur dengan mempersoalkan apa yang akan berlaku kepada Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur selepas pelantikan penggantinya, Siti Zailah daripada PAS.

Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu disiasat di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana dipercayai mempunyai kecenderungan menghasut.

Awal minggu ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil keterangan beberapa exco Pulau Pinang dan Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berhubung projek terowong dasar laut di negeri itu.

Kamarul berkata, tidak adil mempertikaikan tindakan polis terhadap pemimpin pembangkang ketika ini kerana Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dilantik bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Ketua polis negara yang ada sekarang ini adalah orang kuat Mahathir yang pernah direkodkan berkata tidak akan berpaling tadah kepada Mahathir.

“Jadi, kalau hendak dikatakan tindakan polis ketika ini mencerminkan kerajaan PN, tidak boleh dikatakan juga sebab yang kuasai pasukan polis ketika ini adalah individu yang dilantik Mahathir sendiri.”

Kamarul turut bersetuju, kebangkitan suara pertubuhan bukan kerajaan dan hak asasi manusia yang mempertahankan pimpinan PH ketika ini tidak memberi kesan buat pengundi keseluruhannya, khususnya pengundi luar bandar.

“Setakat ini, prestasi Muhyiddin masih okey kerana tidak banyak kesalahan besar dilakukan, melainkan apabila bertindak melewatkan Parlimen atau isu lantikan politik. Namun, ia bukan satu kesalahan dari aspek perundangan.

“Perkara utama di mata rakyat ketika ini adalah melihat bagaimana PN mengatasi isu Covid-19, khususnya apabila isu ini hampir selesai dan negara dilihat agak berjaya. Cumanya yang tinggal adalah isu pasca Covid-19.”

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, isu kebebasan bersuara NGO dan kumpulan hak asasi memberi kesan kepada semua golongan, tetapi tahap sensitivitinya lebih berpihak kepada kumpulan di kawasan bandar.

“Hakikatnya, rakyat sudah serasi dengan konsep kebebasan secara mutlak tidak sesuai dengan Malaysia, terutama perkara yang sentuh hal agama, bangsa dan budaya. Saya tidak nampak isu kebebasan bersuara akan menjadi pemangkin utama buat rakyat menilai prestasi PN.”

Mohd Izani Mohd Zain dari Universiti Putra Malaysia pula berkata, ketelusan PN dapat diperhatikan menerusi kes berprofil tinggi yang masih diteruskan di mahkamah ketika ini ialah kes sama sejak pentadbiran PH.

“Susah juga hendak cakap sebab kes-kes yang diadili sekarang ini melibatkan pemimpin semasa dalam kerajaan PN yang sebelum ini bagi saya, perdana menteri sendiri mahukan sebuah kerajaan yang tidak campur tangan dalam apa juga kes.”

Katanya, lebih baik jika pentadbiran PN memastikan proses keadilan, perundangan dan kehakiman berjalan tanpa intimidasi politik dan campur tangan Putrajaya kerana ia boleh mendapat kepercayaan tinggi rakyat.

“PN ada kelebihan dan mereka mempunyai peranan besar untuk membantu rakyat. Pendekatan diambil PN akan menentukan bagaimana penerimaan rakyat kerana rakyat hendak melihat kerajaan yang memulihkan ekonomi, impak Covid-19.”

Beliau berkata, walaupun langkah diambil kerajaan PN dalam menangani beberapa isu dianggap keras, tetapi rakyat dapat menerimanya.

“Contoh mudah ialah dasar terhadap PATI (pendatang asing tanpa izin) yang agak keras, tetapi diterima rakyat. Serupa juga tindakan polis dengan strategi agak keras, tetapi rakyat memahaminya supaya keadaan sentiasa terkawal. Semua ini akan beri kesan minima dalam pilihan raya umum.

“Satu perkara ketara ialah tindakan polis ketika ini untuk menjaga ketenteraman negara dan tidak ada kena-mengena dengan kehendak parti politik. Belum ada tanda atau isyarat tindakan polis ini berkaitan strategi PN untuk kekang seteru politik mereka.”

Semalam, 6 kakitangan media antarabangsa, Al Jazeera ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung dokumentari “Locked Up In Malaysia’s Lockdown” menerusi program 101 East yang disiarkan minggu lalu kerana menuduh Putrajaya menggunakan alasan kesihatan dan keselamatan awam untuk menangkap PATI.

Al Jazeera disiasat polis di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.