Tiada permohonan tubuh parti baru daripada Azmin, kata pendaftar pertubuhan

Azmin yang merupakan bekas timbalan presiden PKR sebelum ini menafikan dakwaan beliau akan menubuhkan parti politik baru.

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengesahkan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang permohonan menubuhkan parti politik baru daripada Mohamed Azmin Ali.

JPPM dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya melakukan semakan rekod mengenai permohonan pendaftaran pertubuhan dan berdasarkan semakan, tiada permohonan dibuat ahli politik itu.

Jabatan itu berkata, pihaknya menerima beberapa pertanyaan daripada pihak media bagi mendapatkan pengesahan, sekiranya ada permohonan bagi menubuhkan parti politik baru daripada Azmin yang juga menteri kanan merangkap menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Azmin yang merupakan bekas timbalan presiden PKR sebelum ini menafikan dakwaan beliau akan menubuhkan parti politik baru.

Beliau mengumumkan keluar PKR pada bulan Februari lepas, dan menyertai PPBM pada Mac.