266 kertas siasatan berhubung berita palsu Covid-19 dibuka, kata Ismail

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 351 penafian dan penjelasan dimaklumkan kepada orang ramai bagi membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19.

PETALING JAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga hari ini 266 kertas siasatan dibuka oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung berita palsu mengenai wabak Covid-19.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 172 masih dalam siasatan dan 30 kes telah didakwa di mahkamah.

“12 lagi diberikan notis amaran, 13 dalam proses perbicaraan dan 17 mengaku bersalah.

“Pihak polis dan SKMM akan terus membuat pemantauan ketat terhadap penyebaran berita palsu.

“Kerajaan memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap penyebaran berita palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail berkata, sebanyak 351 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu dimaklumkan kepada orang ramai oleh Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19.

“Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya dan boleh menyalurkan maklumat kepada PRP di talian 03-89115103 atau layari www.SEBENARNYA.MY untuk menyemak kesahihan berita.

“Setakat hari ini, jumlah layaran portal SEBENARNYA.MY mencecah lebih 163 juta,” katanya.

29 ditahan ingkar PKP

Dalam pada itu beliau berkata, polis menahan 29 individu atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Katanya, daripada jumlah itu, 8 individu direman, manakala 21 dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar PKP termasuklah aktiviti dalam pub/kelab malam (3 individu), aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (13) serta aktiviti yang melanggar SOP (13),” katanya.

Ismail berkata, polis berjaya menahan 7 warganegara asing kerana kesalahan imigresen.

Katanya, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan, terutamanya di lorong tikus.