4 pesakit sembuh, 14 kes baru Covid-19

PETALING JAYA: 14 kes baru Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 4 pesakit disahkan sembuh hari ini.

Jumlah kematian akibat virus itu kekal 122 orang susulan tiada kematian baru dicatatkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam kenyataannya, 3 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 2 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 8,718 kes Covid-19 dengan 8,519 daripadanya sembuh.

Ketika ini, 77 pesakit Covid-19 dirawat di seluruh negara.

Noor Hisham berkata, daripada 14 kes baru yang dilaporkan, 3 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan melibatkan warganegara Malaysia.

Katanya, daripada 11 kes penularan dalam negara pula, 3 kes melibatkan warga tempatan, dan 8 kes dalam kalangan bukan warganegara.

“Perincian kes jangkitan dalam negara dalam kalangan warganegara Malaysia (3 kes) adalah di Sarawak ada 2 kes, iaitu 1 kes saringan bergejala yang menjalani saringan di pusat perubatan di Kuching dan kemudiannya dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak setelah didapati positif Covid-19.

“1 kes lain merupakan kontak rapat kes ke-8694, iaitu sebahagian daripada kluster Kejuruteraan Kuching.

“Di Sabah ada 1 kes saringan pra rujukan ke Hospital Keningau.

Kes jangkitan dalam negara melibatkan bukan warganegara adalah 8 kes iaitu kes saringan kontak rapat kepada kes ke-8629 dan kes ke-8630 di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Sepang,” katanya.

Noor Hisham berkata, sehingga hari ini sebanyak 8 kes positif baru dilaporkan melibatkan kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Sepang, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 72 kes daripada 1,477 saringan.

Katanya, 8 kes ini dikesan daripada saringan 115 Orang Kena Tahan (OKT).

“Ini merupakan saringan ulangan, iaitu saringan kontak rapat ke atas 115 OKT yang ditempatkan di Blok C pada 10 Julai 2020.

“Kesemua kes positif kluster ini adalah melibatkan bukan warganegara.

“Mereka sebelum ini sememangnya telah diasingkan, iaitu di dalam DTI Sepang dan kini kes positif Covid-19 dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut, justeru tidak membawa risiko penularan kepada masyarakat,” katanya.