AS catat rekod harian kes baru Covid-19 terbanyak 66,528

Donald Trump memakai topeng ketika melawat Hospital Tentera Walter Reed di Bethesda, Maryland pada Sabtu. (Gambar AP).

WASHINGTON: Amerika Syarikat yang paling teruk terjejas akibat Covid-19 mencatatkan rekod 66,528 kes baru dalam tempoh 24 jam pada Sabtu, menurut statistik Universiti Johns Hopkins.

Ini menjadikan keseluruhan jangkitan virus itu di AS berjumlah 3,242,073 kes, menurut data terkini universiti berpangkalan di Baltimore itu setakat 8.30 malam (waktu tempatan).

Angka korban pula mencecah 134,729 orang, susulan tambahan 760 kematian.

AS mencatatkan kes baru harian mencecah 60,000 orang dalam tempoh 4 daripada 5 hari lalu.

Selepas tekanan demi tekanan, Presiden Donald Trump akhirnya menunjukkan teladan dengan memakai topeng di khalayak ramai buat pertama kalinya pada Sabtu.

Trump memakai topeng berwarna hitam dengan logo presiden ketika beliau melawat Hospital Tentera Walter Reed di luar Washington untuk menemui veteran cedera.

Menurut laporan berita minggu ini, pembantunya boleh dikatakan terpaksa merayu Trump memakai topeng di khalayak ramai – untuk diambil gambar – ketika kes koronavirus melonjak di sesetengah negeri.

Ia termasuk Florida, di mana Disney World membuka semula 2 daripada 4 taman tema Orlandonya kepada orang ramai, walaupun negeri itu mencatatkan 10,360 kes baru dan 95 kematian.

Pengunjung pada Sabtu perlu menempah tiket terlebih dahulu untuk membolehkan Disney mengawal jumlah pengunjung di taman teman itu dan melaksanakan penjarakan sosial.

Pengunjung perlu menjalani pemeriksaan suhu badan dan banyak cecair pembasmi kuman disediakan dalam taman tema itu.

Disney berkata, ia melaksanakan penjarakan sosial 2m di semua tarikan dan dalam kedai.