Bekas pelapor khas PBB puji Putrajaya semak kadar kemiskinan

Philip Alston berkata, menyemak semula kadar kemiskinan ialah langkah utama dan cabarannya kini ialah mengatasi kemiskinan secara sistematik.

KUALA LUMPUR: Bekas pelapor khas kemiskinan tegar dan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Philip Alston memuji komitmen Malaysia menaikkan had pendapatan garis kemiskinan (PGK) daripada RM980 kepada RM2,208.

Menerusi perkongsian di Twitternya baru-baru ini, profesor undang-undang dan ketua Pusat Hak Asasi Manusia dan Keadilan Global di School of Law Universiti New York itu, berkata Putrajaya mengambil langkah berani menetapkan kadar kemiskinan berdasarkan realiti semasa.

“Had garis kemiskinan yang dilaporkan baru-baru ini adalah 2 kali ganda berbanding sebelumnya dan keputusan kadar kemiskinan secara rasmi adalah 14 kali lebih tinggi berbanding tahun sebelum ini.

“Menyelaraskan garis kemiskinan adalah langkah utama. Cabarannya kini ialah mengatasi kemiskinan secara sistematik dengan menerapkan skema perlindungan sosial komprehensif dan memberikan ketelusan data lebih luas bersesuaian dengan apa yang digunakan negara demokratik.”

Philip Alston

Beliau berkata, kadar kemiskinan baru 5.6% daripada 0.4%, hanya 1/3 daripada yang dianggarkan kebanyakan penganalisis bebas dan menyarankan kerajaan memasukkan tanda aras lebih realistik dalam Rancangan Malaysia ke-12.

Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan mengumumkan PGK disemak kepada RM2,208 berdasarkan metodologi pengiraan pada 2019.

Sebelum ini, PGK dikira berdasarkan metodologi pada 2005 yang menjadikan penanda aras kemiskinan pada RM980 berdasarkan keperluan asas untuk isi rumah hidup sihat dan aktif.

Ketua Perangkawan, Uzir Mahidin dilaporkan berkata semakan PGK itu berdasarkan keperluan semasa yang menekankan pengambilan makanan optimum dan keperluan asas bukan makanan yang lebih berkualiti.

Lebih 400,000 isi rumah di negara ini didapati berada di paras kemiskinan pada 2019 berdasarkan metodologi PGK baru.