Buka pintu sempadan langkah terakhir perangi Covid-19, kata menteri

Dr Adham Baba berkata, sempadan negara bukan hanya di KLIA, tetapi juga di Johor, sempadan bersama Thailand, Sabah, Sarawak dan juga pintu masuk melalui darat.

PONTIAN: Pembukaan pintu sempadan akan menjadi perkara terakhir dilaksanakan kerajaan dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 dan memastikan trend kes import terus berkurangan dalam negara.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata langkah itu diambil kerana kebanyakan kes baru yang direkodkan dalam negara merupakan kes dari luar (kes import).

“Dalam protokol kita menjaga atau menangani Covid-19, antara perkara yang kita sangat berhati-hati ialah kawalan terhadap sempadan kerana sempadan kita bukan hanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tetapi juga di Johor, sempadan bersama Thailand, sempadan di Sabah serta Sarawak dan juga pintu masuk melalui jalan,” katanya selepas menghadiri sesi “townhall” anjuran Umno Tanjung Piai di Kukup semalam.

Beliau mengulas sama ada kementeriannya bersedia menyaring lebih ramai individu kerana ada rancangan membuka pintu sempadan kepada negara zon hijau dalam kes Covid-19, termasuk Singapura.