China naikkan amaran banjir ke tahap kedua tertinggi

Penduduk berenang melepasi sebuah astaka di tepi Sungai Yangtze yang ditenggalami banjir di Wuhan, wilayah Hubei, tengah China Rabu lalu. (Gambar AP)

BEIJING: China meningkatkan amaran banjir ke tahap kedua tertinggi ketika hujan lebat berterusan di kawasan sepanjang Sungai Yangtze, dengan Jiangsu dan Jiangxi antara wilayah di timur yang paling teruk terjejas, lapor media negara itu.

Banjir di daerah Poyang, Jiangxi menyebabkan paras air di Tasik Poyang, tasik air tawar terbesar di China, naik melebihi 22.52m, rekod tertinggi dan melebihi paras amaran 19.50m.

Ribuan anggota tentera dikerahkan untuk membantu menguatkan benteng tasik itu sepanjang 9km bagi mengelakkan ia melimpah semalam, lapor stesen televisyen negara.

China mempunyai sistem respons kecemasan kawalan banjir 4 taha, dengan tahap pertama paling teruk.

Memetik data Kementerian Sumber Air, paras air 212 sungai melepasi tahap amaran, termasuk 19 daripadanya meningkat kepada rekod tertinggi sejak awal bulan ini.

China menyalahkan cuaca buruk akibat perubahan iklim untuk hujan lebat yang turun di sebahagian besar negara itu sejak bulan lalu dan menyebabkan kerugian lebih 60 bilion yuan (AS$8.57 bilion).