Jelaskan isu tanah Bagahak, presiden SAPP beritahu Shafie

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal mengumumkan pemberian geran tanah kepada pekebun kecil pada 4 Julai.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal digesa menjelaskan isu pemberian tanah kepada pekebun kecil di Bagahak, Lahad datu dan sama ada ia mempunyai kaitan dengan kes mahkamah membabitkan timbalan beliau, Christina Liew.

Presiden SAPP Yong Teck Lee berkata, timbul banyak soalan berhubung geran tanah seluas 6,800 hektar itu dan keperluan untuk memberi pampasan tanah 18,000 hektar kepada syarikat milik negeri Borneo Samudra Sdn Bhd di tempat lain.

Dalam pengumuman pada 4 Julai lepas, Shafie berkata, beliau “tidak akan bercakap banyak kerana ia mungkin menghina mahkamah”.

Justeru Yong menggesa Shafie menjelaskan kes mahkamah yang beliau maksudkan dan sama ada ia melibatkan timbalan ketua menteri.

Christina dan 2 yang lain diperintahkan membayar RM577 juta kepada Borneo Samudera dalam satu saman terhadap tindakan mereka berkait pertikaian tanah antara pekebun kecil dengan syarikat tersebut.

Yong meminta Shafie menjelaskan sama ada tanah yang ditawarkan kepada Borneo Samudera merupakan tanah rizab hutan atau tanah negeri dan sama ada tanah berkenaan sudah dituntut di bawah tanah warisan anak negeri.

“Hanya selepas persoalan ini dijawab secara memuaskan, rasa tidak senang orang awam mengenainya akan tamat,” katanya.