Kami hanya selesaikan masalah tanah tinggalan BN, Warisan beritahu PBS

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal (4 dari kiri) menyerahkan geran tanah anak negeri di Keningau baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Setiausaha agung warisan Loretta Padua Jr hari ini menafikan kerajaan Sabah pimpinan Warisan mengambil nama atas inisiatif geran tanah yang dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, sebaliknya parti itu melakukan sebaik mungkin bagi mengatasi isu pertikaian tanah yang gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Malah kata Padua, langkah Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal itu hendaklah dilihat sebagai keprihatinan kerajaan Warisan Plus terhadap nasib komuniti Kadazan, Dusun dan Murut yang dinafikan hak ke atas tanah warisan mereka sejak sekian lama.

“Langkah kerajaan Warisan Plus memberikan geran tanah anak negeri kepada penduduk di daerah Keningau adalah selari dengan manifesto pilihan raya umum 2018 Warisan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam ketua penerangan PBS Joniston Bangkuai menuduh Warisan mengambil nama atas skim geran tanah yang dimulakan semasa pemerintahan BN sebelum ini.

Beliiau berkata kerja ukur tanah untuk tujuan itu dijalankan oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah dari 2015 hingga 2017.

Bangkuai yang merupakan Adun Kiulu berkata, skim pemberian geran tanah dimulakan oleh kerajaan lepas di bawah program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (Pantas) dan geran komuniti yang bertujuan mempercepatkan proses tuntutan ke atas tanah warisan anak negeri.

Padua berkata, skim itu diwujudkan berikutan aduan rakyat bahawa proses kelulusan geran mengambil masa beberapa tahun.

“Sejak Musa Aman menjadi ketua menteri pada 2003 dan PBS menyertai semula BN pada 2002, ia mengambil masa 7 hingga 8 tahun bagi kerajaan lepas untuk menubuhkan Pantas.

“Akibatnya, ramai pemohon tanah anak negeri tidak memperoleh geran kerana mereka telah meninggal dunia.

“Sebagai contoh di Kiulu di mana Bangkuai merupakan Adunnya, sesetengah penduduk kampung menunggu lebih 40 tahun untuk mendapatkan geran,” katanya.

Padua berkata, tidak ramai pemohon mendapat pertolongan daripada kerajaan lepas. Hanya apabila masalah mereka dilaporkan oleh media, barulah kerajaan mula bertindak.

Katanya, perkembangan penting kini ialah langkah kerajaan Warisan Plus membatalkan sistem geran komuniti.

Sistem ini, yang menyaksikan sekumpulan pemilik tanah disenaraikan di bawah geran tunggal diperkenalkan bagi menyukarkan mereka menjual tanah tanpa persetujuan pemilik lain.