Kapal layar A+ RM2.93 bilion dibeli guna dana dikaitkan 1MDB, kata DoJ

Jabatan Kehakiman AS berkata, sebuah firma swasta membeli Topaz yang kini dinamakan semula A+ dengan wang yang diseleweng dari 1MDB.

PETALING JAYA: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengesahkan sebuah kapal layar mewah yang dianggarkan bernilai AS$688 juta (RM2.93 bilion), dibeli menggunakan dana dikaitkan dengan 1MDB.

Menurut akhbar Singapura The Straits Times (ST), butiran kewangan Topaz, yang kini dinamakan semula sebagai A+, terkandung dalam pemfailan DoJ kepada sebuah Mahkamah Persekutuan di California pada 30 Jun lalu.

Bagaimanapun, ia tidak dinyatakan jika DoJ akan memohon untuk kapal layar itu dijadikan sebahagian usahanya dalam merampas aset 1MDB.

Menurut DoJ, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low, menyewa A+ sekurang-kurangnya 5 kali antara 2013 dan 2014 di pelbagai lokasi.

Ia termasuk Nice di Perancis, Ibiza di Sepanyol, Caribbean, New York dan sekitar pantai Brazil.

“Pendedahan DoJ dalam satu pemfailan setebal 280 halaman itu boleh memberi kelebihan yang memihak kepada Malaysia kerana pendedahan mengenai pembiayaan untuk membeli Topaz kini secara rasminya mengaitkan urusan 1MDB kepada seorang pegawai tinggi Emiriah Arab Bersatu,” menurut laporan itu.

Pemfailan DoJ turut mendapati Oceanus Maritime, sebuah firma swasta, membayar AS$688 juta untuk kapal layar itu pada 2012.

“Firma swasta itu kemudiannya membayar balik pinjaman itu secara beransur melalui wang yang diseleweng dari 1MDB,” lapor ST sambil menambah ia dilakukan melalui satu skim yang diketua 2 bekas eksekutif International Petroleum Investment Company (IPIC), Khadem Al Qubaisi dan Badawy al Husseiny.

Oceanus Maritime dikaitkan kepada seorang pegawai UAE, dikenali sebagai Pegawai Emiriah 1, yang merupakan seorang pemimpin kanan dalam IPIC.

IPIC terpalit dalam pertikaian dengan Malaysia berjumlah berbilion dolar berhubung transaksinya dengan 1MDB.

Tahun lalu, The Edge melaporkan hampir AS$140 juta (RM597 juta) dari 1MDB dipercayai digunakan untuk membayar kapal layar sepanjang 482 kaki itu, yang dibina pada harga AS$450 juta (RM1.91 bilion) – untuk Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan.

Pemilik kelab bola sepak Manchester City ialah pengerusi IPIC.