Khairuddin kekal bersama Dr M di blok bebas selepas tinggalkan PH

Khairuddin Abu Hassan menasihatkan Dr Mahathir Mohamad tidak membuang masa mendapatkan kembali PPBM, sebaliknya perlu berusaha menubuhkan parti baru.

PETALING JAYA: Penyokong setia Dr Mahathir Mohamad, Khairuddin Abu Hassan kekal bersama bekas perdana menteri itu di blok bebas, selepas beliau meninggalkan Pakatan Harapan Isnin lalu.

Katanya, keputusan kumpulan Mahathir dan Warisan menjadi blok bebas tepat kerana mereka tidak perlu lagi bergelut dengan Anwar Ibrahim dalam PH dalam isu calon perdana menteri, serta ia akan memudahkan proses meraih sokongan majoriti ahli Parlimen untuk merampas kembali Putrajaya.

“Tanpa Anwar akan memudahkan gerak kerja mendapatkan nombor mencukupi di kalangan ahli Parlimen yang mula tidak selesa dengan konsep gabungan sementara kerajaan Perikatan Nasional.

“Saya sudah mula dihubungi ramai rakan ahli Parlimen yang memberi reaksi positif kerana mereka semakin tidak senang dengan gelagat angkuh segelintir pemimpin Umno yang kelihatan sedang menyusun agenda kepentingan sendiri tanpa semangat penyatuan tulen dalam PN,” katanya kepada FMT.

Beliau mendakwa Umno mengambil kesempatan membuli PPBM dan parti lain di bawah PN serta menggunakan pakatan itu dan jentera kerajaan untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Sampai masa PRU15, Umno pasti bercerai dengan PN kerana menganggap mereka popular sekarang dan boleh menang besar di bawah gabungan Muafakat Nasional.”

Katanya, keputusan kumpulan Mahathir dan Warisan menjadi blok bebas akan membolehkan ahli Parlimen lain, termasuk dari PH bersama mereka.

“Gabungan dalam PH juga bakal berpecah untuk memihak kepada blok bebas ini.

“Ramai ahli Parlimen yang berprinsip sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan satu barisan atau gabungan baru yang lebih tulen bagi mentadbir secara efektif ke arah membina semula Malaysia Baru demi kesejahteraan bangsa dan negara.”

Jumaat lalu, Mahathir bersama 5 ahli Parlimen yang merupakan bekas pemimpin PPBM memutuskan untuk berada di blok bebas bersama Warisan dan tidak akan bergabung dengan gabungan lain, sama ada PN atau PH.

PH akan terkubur

Khairuddin meramalkan PH akan terkubur di bawah kepimpinan Anwar dan mendakwa kejayaan gabungan itu memenangi Putrajaya pada PRU14 lalu ialah hasil sokongan Mahathir serta parti lain.

Beliau meminta kumpulan diketuai Mahathir supaya tidak melayan kerenah pemimpin PH yang didakwanya tidak berprinsip.

“Depan cakap lain, belakang buat lain.”

Beliau menasihatkan Mahathir tidak membuang masa mendapatkan kembali PPBM, sebaliknya berusaha menubuhkan parti baru.

“Tubuh saja parti baru yang betul-betul bebas daripada kepompong Umno, PPBM. Dari awal lagi saya maklum pada Mahathir, PPBM tidak boleh pergi jauh dan akan mati di tengah jalan. Saya salah seorang pengasas PPBM yang pertama keluar parti pada waktu itu.

“Mahathir kena tubuh parti baru dengan kadar segera, jangan risau dengan perpecahan Melayu. Bila Mahathir tubuh parti baru, majoriti Melayu akan bernaung di bawah parti baru.

“Kita boleh bergabung dengan sebahagian daripada pemimpin Umno yang baik seperti Hishammuddin Hussein,” katanya sambil menambah bukan semua pemimpin Umno bermasalah kerana ada yang mempunyai rekod bersih.

Isnin lalu, Khairuddin dilaporkan berkata, beliau meninggalkan PH dan meletak jawatan sebagai penyelaras Parlimen Jasin serta-merta kerana tidak mahu berjuang untuk menjadikan Anwar sebagai perdana menteri ke-9.

Katanya, PH yang kini dipengerusikan Anwar bukan lagi platform sesuai untuk berjuang bagi menyelamatkan negara.

“PKR sendiri bermasalah dan berpecah di bawah kepimpinan Anwar. Bagaimana dia hendak memimpin gagasan PH yang jauh lebih besar?” soalnya dalam kenyataan Isnin lalu.