Pasaran rumah terus tidak stabil, tetapi gudang melonjak

Seperti kebanyakan sektor ekonomi lain, pasaran hartanah terjejas teruk akibat wabak Covid-19.

PETALING JAYA: Seorang pakar hartanah berkata, penawaran bagi hartanah domestic dijangka meningkat, tetapi permintaan akan jatuh menyebabkan pasaran hartanah akan kekal “sangat tidak stabil”.

Bagaimanapun katanya, hartanah komersial berkembang baik. Permintaan terhadap ruang gudang meningkat kerana penawarannya yang terhad. Ini berikutan peningkatan keperluan untuk ruang simpanan barangan urus niaga atas talian.

Ketua eksekutif sebuah agensi perunding hartanah antarabangsa Siva Shanker berkata, pasaran perumahan mengalami panik berikutan pelaksanaan perintah sekatan di seluruh negara kerana semua pihak tidak dapat menjangka kesan krisis Covid-19.

Segmen hartanah kediaman kekal paling tidak stabil kerana penawarannya yang tinggi, sementara permintaan merosot.

“Sektor ini akan kekal goyah dan memerlukan masa untuk melihat perkembangan lebih kukuh,” katanya, selain menegaskan lebih banyak data berhubung tindak balas pasaran diperlukan selepas berakhirnya tempoh moratorium 6 bulan ke atas pinjaman bank September ini.

“Bagaimanapun hartanah industri kelihatan berkembang baik dengan permintaan bagi gudang meningkat kerana penawaran yang terhad, sementara permintaan bagi ruang simpanan barangan jualan atas talian terus bertambah,” katanya kepada FMT.

Pelabur yang mencari hartanah berkeuntungan tinggi boleh mengambil manfaat kerana pemilik mungkin mahu menjual hartanah mereka,” katanya.

“Syarikat yang mengalami masalah aliran tunai mungkin mahu menjual asset mereka.”

Namun Siva berkata, harga bagi hartanah pelaburan yang baik akan kekal stabil kerana ia dijual berdasarkan hasilnya.

“Bagi pemilik, sekiranya pelabur tidak mahu membeli pada harga ditetapkan, mereka boleh beralih ke pelabur lain kerana wujudnya permintaan terhadap pelaburan sedemikian yang menawarkan hasil jangka panjang.

“Pasaran akan menyaksikan pelabur kukuh membuat pembelian sekarang dan menjualnya pada harga lebih tinggi apabila pasaran menjadi bertambah baik,” katanya.

Beliau berkata, permintaan bagi bangunan pejabat baru kini bertambah, tetapi permintaan bagi bangunan lebih lama akan merosot kerana sewanya yang lebih rendah susulan kelembapan ekonomi.

Pemilik ruang pejabat lebih lama harus membaiki dan menjenamakan semula unit mereka bagi menarik perhatian penyewa berpotensi.

Bagi lot kedai beliau berkata, permintaan dan sewanya kekal sama “pada masa ekonomi baik dan perlahan”.

Siva menggesa bank supaya menawarkan moratorium bersasaran kepada individu dan perniagaan kerana ia membantu mengurangkan kerugian mereka.

“Jika individu kehilangan pekerjaan, maka bank boleh berikan 100% selama 6 bulan,” katanya dengan menambah bahawa langkah sama boleh ditawarkan kepada perniagaan.