Pemuda maut selepas sertai ‘parti Covid-19′ menyangka ia sekadar main-main!

Idea ‘parti Covid-19’ semua orang berkumpul bersama untuk melihat sekiranya virus itu benar dan sekiranya ada yang dijangkiti. (Gambar AP)

Siapa sangka “parti Covid-19” yang dihadiri bersama rakan-rakan menjadi yang terakhir dalam hidupnya.

Itulah luahan rasa seorang pesakit berusia 30 tahun yang meninggal dunia di Hospital Methodist di San Antonio, Texas di Amerika Syarikat (AS).

“Saya fikir saya telah buat kesilapan. Saya ingatkan ia main-main, tapi tidak,” kata-katanya yang terakhir sebelum meninggal dunia.

Menurut ketua pegawai perubatan hospital itu, pesakit meninggal dunia pada minggu ini, selepas menghadiri sebuah parti yang kononnya “parti Covid-19”.

Menurut laporan ABC News, Dr Jane Appleby menerusi kenyataan berkata, pesakit berkenaan memberitahu jururawat mengenai parti tersebut, yang dikatakan dianjurkan oleh seseorang yang menghidap Covid-19.

“Ideanya adalah semua orang berkumpul bersama untuk melihat sekiranya virus itu adalah benar dan sekiranya ada yang dijangkiti,” kata Appleby.

Menurut Appleby, beliau berkongsi kisah tersebut bukan untuk menakutkan orang ramai, tetapi untuk memastikan mereka memahami bahawa virus tersebut boleh menjangkiti sesiapa sahaja.

Beliau menambah, kebanyakan kes Covid-19 di hospital itu membabitkan golongan yang berumur dalam lingkungan 20-an dan 30-an.

Appleby juga memberi amaran virus itu tidak mendiskriminasi sesiapa, dan menggalakkan orang ramai untuk memakai topeng muka dan seboleh-bolehnya kekal berada di rumah.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]