Siasatan kes ‘sejuk beku’ jenayah komersial dibuka semula, kata KPN

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, banyak kes jenayah komersial tertangguh kerana pegawai penyiasat tidak melaksanakan tugas dengan baik, termasuk tidak menjalankan siasatan.

KUALA LUMPUR: Kesemua kes ‘sejuk beku’ Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman yang tidak diselesaikan sejak beberapa tahun lepas akan diteruskan semula siasatan dengan pegawai bertanggungjawab diberi tempoh sebulan untuk menyelesaikannya, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, antara kes berkenaan ialah penipuan dalam talian dengan banyak kes tertangguh disebabkan pegawai penyiasat tidak melaksanakan tugas dengan baik, termasuk ada yang tidak menjalankan siasatan.

“Selain itu, ada juga kes JSJK yang mempunyai waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah dan ada laporan polis yang dibuat pada 2013 (tetapi siasatan) tidak berjalan,” katanya di Bukit Aman di sini, hari ini.

Menurut Abdul Hamid, pihaknya akan mengenal pasti pegawai penyiasat yang bertanggungjawab untuk diarah menyelesaikan kes masing-masing.

“Kes ‘sejuk beku’ ini perlu dibuka semula untuk memberi keadilan kepada mangsa yang teraniaya dan kami cari siapa pegawai penyiasat berkenaan, beri dia amaran 1 bulan untuk siapkan siasatan kes,” katanya.

Abdul Hamid juga menegaskan pihaknya tidak akan memberi sebarang ruang kepada kegiatan perjudian dalam talian.

“Judi dalam talian memang saya lawan habis-habisan. Saya tidak bagi peluang dan saya haramkan mana-mana tauke judi datang untuk berjumpa dan berbaik dengan saya,” katanya.

Beliau turut menegaskan tiada lagi “aktiviti mewah”dalam kalangan pegawai polis dibenarkan, termasuk mengadakan majlis keramaian bagi merayakan hari lahir pegawai tinggi di pejabat mahupun mengadakan lawatan ke mana-mana tempat.

“Saya haramkan semua majlis berfoya-foya di pejabat.

“Ada pegawai tinggi polis dibelanja makanan laut sehingga bil mencecah ribuan ringgit, siapa hendak bayar semua itu? Budaya sedemikian saya hendak buang dan tidak mahu ada dalam polis,” katanya.