Surat Shafie adalah antara rakan BN, kata pemimpin Warisan

Semalam bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa Shafie Apdal kerap menolak tender terbuka, sebaliknya mengutamakan tender terpilih.

KOTA KINABALU: Seorang ahli Majlis Tertinggi Warisan hari ini mempertahankan presiden parti itu Shafie Apdal daripada tuduhan berkaitan tender projek dengan berkata, tindakan beliau dibuat atas kapasitinya sebagai menteri kemajuan luar bandar pada masa itu.

Ketua penerangan Warisan Yusof Yacob berkata, Shafie, yang kini merupakan ketua menteri Sabah, tidak melanggar mana-mana peraturan dengan meminta tender terbuka tertentu dijadikan tender terpilih dan begitu juga tindakannya menulis surat rayuan kepada perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

“Shafie juga merujuk kepada individu yang tepat dalam perkara itu kerana Najib adalah perdana menteri pada masa itu. Shafie melakukannya atas kapasiti beliau sebagai menteri persekutuan dan atas dasar menghormati Najib sebagai bekas bosnya.”

Semalam Najib mendakwa Shafie kerap menolak tender terbuka dan lebih menyukai tender terpilih. Beliau berkata, Shafie akan menulis surat rayuan apabila permohonannya ditolak.

Yusof berkata, beliau juga percaya Shafie tidak membuat permohonan itu untuk dirinya atau penyokong beliau yang meminta pertolongan untuk mengubah tender berkenaan kepada tender terpilih.

Yusof juga berkata, jika ada individu lain yang terlibat meminta Shafie berbuat demikian, mereka juga mungkin merupakan ahli Umno.

“Sebenarnya ia adalah isu antara rakan yang sama-sama mengurus kerajaan, justeru ia tidak patut ditimbulkan. Ia seumpama isu antara suami dan isteri yang berkahwin; mereka saling mengetahui kekuatan dan kelemahan yang lain,” kata Yusof.

Katanya, “tidak baik, malah tidak bermoral, bagi isteri atau suami saling mendedahkan kelemahan satu sama lain kepada orang lain ketika bercerai. Mungkin suatu hari ini, mereka mungkin berfikir untuk rujuk semula.”

Shafie, yang merupakan naib presiden Umno ketika itu disingkirkan daripada Kabinet Najib pada 2015 selepas mengkritik skandal 1MDB.

Beliau digantung daripada Umno setahun kemudian dan meninggalkan parti itu pada 4 Julai 2016.

Shafie menubuhkan Warisan selepas itu dan berjaya menguasai kerajaan Sabah selepas pilihan raya umum 2018.