Tiada isu peribadi dengan Mahathir berhubung pertukaran speaker Parlimen, kata Anwar

Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim berkata, tidak terdapat isu peribadi antara beliau dengan Dr Mahathir Mohamad berhubung usul perdana menteri untuk menukar speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat.

SHAH ALAM: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim berkata, tidak wujud isu bersifat peribadi antara beliau dengan Dr Mahathir Mohamad, dalam usaha blok pembangkang mempertahankan speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat.

Anwar berkata, beliau percaya Mahathir juga akan mengambil sikap serupa, iaitu mengutamakan agenda reformasi dan membantah usul dikemukakan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin itu.

Katanya, usul sedemikian tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

“Kita dalam PH dan rakan-rakan pembangkang sepakat untuk pertahankan speaker dan timbalan speaker. Ini soal prinsip dan peraturan. Belum pernah berlaku dalam sejarah Komanwel dan sejarah negara. Pelantikan (speaker) hanya berlaku bila ada kekosongan.

“Sejauh yang saya fikirkan, ia sebagai isu polisi dan agenda reformasi. Sesiapa sahaja, termasuk Mahathir, jika kita boleh bersetuju dalam isu ini, maka tidak ada masalah. Tidak ada perkara peribadi di sini,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada beliau dan Mahathir akan mengetepikan perbezaan pandangan antara satu sama lain dalam usaha mengukuhkan blok pembangkang, khususnya membabitkan isu pertukaran speaker Dewan Rakyat.

Terdahulu, timbul perbezaan pandangan dalam PH, Warisan dan beberapa bekas pemimpin PPBM, termasuk Mahathir dalam isu menamakan calon perdana menteri gabungan politik itu.

Bekas pemimpin PPBM yang diketuai Mahathir menegaskan akan menyokong Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri, sekali gus memutuskan untuk berada di blok Bebas sama ada dalam Parlimen atau di luar Parlimen.

Manakala itu, PH pula mengumumkan gabungan itu “komited” dengan pendirian asal berhubung calon perdana menterinya, iaitu Anwar Ibrahim.

Pengumuman itu menyusuli mesyuarat Majlis Presiden PH, yang turut membincangkan pencalonan Shafie.

Anwar berkata, walaupun Mahathir dan Shafie tidak terlibat dalam perjumpaan ahli Parlimen PH hari ini, namun sudah ada pertemuan tidak formal lain antara mereka sebelum ini.

“Ada pertemuan lain yang mewakili kita. Sesi pertemuan lain tidak formal antara Warisan dan bekas pemimpin PPBM yang bersama Mahathir.

“Mereka akan bersama-sama menyokong keputusan pembangkang, tetapi kali ini merupakan pertemuan sepenuhnya bersama dengan PH,” katanya.

Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun dan bekas menteri Azalina Othman Said dinamakan sebagai pengganti speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming menerusi usul yang disenaraikan dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula esok hingga 27 Ogos.

Bila ditanya sama ada PH akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin yang dibawa oleh Mahathir, Anwar berkata, pihaknya lebih memfokuskan kepada usul mempertahankan speaker dan timbalan speaker.

“Usul Langkawi itu seperti yang kita tahu, proses peraturan Parlimen. Urusan kerajaan akan didahulukan. Oleh itu agak sukar untuk kita anggap perbahasan akan diadakan. Sebab itu kita tumpu kepada soal pelantikan speaker,” katanya.

Mendahului aturan mesyuarat esok ialah usul yang akan dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin memohon Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador memastikan jalan ke Parlimen bebas daripada sebarang gangguan.

Rang undang-undang lain yang dijangka dibahaskan, termasuk RUU Racun (Pindaan) 2019 untuk melindungi hak pesakit dengan memberi mereka pilihan menentukan tempat mendapatkan bekalan ubat bagi rawatan.

RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 turut akan dibentangkan bagi bacaan ke-2. Ia akan diusulkan oleh perdana menteri.

Isu lain yang dijangka dibahaskan termasuk Covid-19, keadaan ekonomi negara, Rohingya, keselamatan siber, diskaun cukai taksiran dan pendaftaran pengundi 18 tahun.