Tindakan ke atas transgender lebih banyak keburukan daripada kebaikan, kata NGO

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan hak asasi wanita bimbang dengan keputusan kerajaan membenarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengambil tindakan terhadap transgender kerana ia hanya akan membahayakan golongan itu.

Sisters in Islam (SIS) berkata, golongan transgender di Malaysia sudah berdepan diskriminasi, stigma, gangguan dan ketidaksamaan secara sistematik.

Katanya, ini menyebabkan ramai transgender menghadapi gangguan seksual dan “serangan” pihak berkuasa agama ketika penahanan serta ketika mereka tidak bekerja.

SIS yang meminta belas kasihan kerajaan berkata, golongan itu mempunyai sumber terhad untuk mempertahankan diri, sokongan terhad daripada keluarga atau rakan mereka yang boleh digunakan untuk menjauhi masyarakat, serta akses terhad kepada keadilan dan perlindungan undang-undang.

Ini sebabnya mereka tidak bersetuju dengan keputusan memberi “lesen penuh” kepada Jawi bertindak terhadap transgender.

“Ia akan membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Penguatkuasaan untuk mendidik komuniti transgender kembali ke pangkal jalan hanya akan meningkatkan stigma dan memburukkan serangan ke atas mereka oleh orang awam, menjadikan mereka lebih mudah terdedah kepada keganasan dan mengancam nyawa mereka.”

Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi Jawi kebenaran untuk mengambil tindakan terhadap transgender.

Beliau menerusi catatan Facebooknya berkata, selain tangkapan, Jawi akan memberikan tarbiah untuk golongan itu kembali ke pangkal jalan, tetapi mereka perlu mematuhi SOP.

SIS bagaimanapun berkata, ini membangkitkan beberapa persoalan, termasuk apakah SOP itu dan keberkesanannya dalam melindungi transgender daripada dibahayakan.

“Adakah maruah mereka akan dijaga ketika serbuan? Apakah bentuk mekanisme untuk memastikan SOP ini dipatuhi?” soalnya.

Ia menggesa pihak berkuasa agama sebaliknya berinteraksi dengan golongan itu seperti yang pernah dilakukan Zulkifli ketika menjadi mufti Wilayah Persekutuan dahulu.

Dengan cara demikian, katanya, ia akan membolehkan pihak berkuasa memahami keadaan dan cabaran diadahpi transgender.

“Islam mengajar kita untuk berbaik hati dan berbelas kasihan kepada semua orang serta tidak mendiskriminasi, memalukan atau bertindak ganas tanpa mengira latar belakang, jantina atau identiti mereka.”