10 juta kanak-kanak ‘mungkin takkan kembali ke sekolah’ selepas Covid-19

Seorang guru dan pelajarnya di Sekolah Ban Pa Muad, Chiang Mai, utara Thailand memakai topi yang direka khusus untuk penjarakan sosial bagi membendung penularan Covid-19 pada 3 Julai lalu. (Gambar AP)

LONDON: Sebuah badan amal di Britain memberi amaran 9.7 juta kanak-kanak yang terjejas dengan penutupan sekolah akibat pandemik Covid-19 berisiko tidak akan kembali ke sekolah.

Save the Children memetik data Unesco pada April lalu menunjukkan 1.6 bilion pelajar tidak dibenarkan ke sekolah dan universiti sebagai langkah membendung penularan virus – kira-kira 90% daripada keseluruhan populasi pelajar di seluruh dunia.

“Buat pertama kali dalam sejarah manusia, seluruh generasi kanak-kanak di dunia terkesan dengan pendidikan mereka,” katanya dalam laporan baru bertajuk “Save our Education”.

Katanya, krisis kejatuhan ekonomi boleh memaksa 90 hingga 117 juta kanak-kanak menjadi miskin disebabkan kesan tidak langsung terhadap kemasukan ke sekolah.

Dengan ramai orang muda perlu bekerja atau perempuan dipaksa berkahwin pada usia muda untuk menyara keluarga mereka, ia bakal menyaksikan 7 hingga 9.7 juta kanak-kanak tercicir sekolah.

Badan amal itu, pada masa sama, mengingatkan krisis itu boleh menyebabkan kekurangan bajet pendidikan sebanyak AS$77 bilion di negara berpendapatan rendah dan sederhana menjelang akhir 2021.

Tabika dan tadika Pereira Agustinho di Duque de Caxias, Rio de Janeiro menggunakan patung mainan untuk mengingatkan kanak-kanak mengekalkan jarak mereka bagi membendung penularan Covid-19, susulan pembukaan semula premis di Brazil itu pada 6 Julai lalu. (Gambar AP)

“Kira-kira 10 juta kanak-kanak mungkin tidak akan kembali ke sekolah – ini ialah darurat pendidikan yang belum pernah terjadi sebelum ini dan kerajaan mesti segera melabur dalam pembelajaran,” kata Ketua Eksekutif Save the Children, Inger Ashing.

“Sebaliknya, kita berisiko berdepan pemotongan bajet yang akan menyaksikan jurang antara golongan kaya dan miskin serta jantina.”

Badan amal itu menggesa kerajaan dan penderma melabur lebih banyak dana dalam rancangan pendidikan global baru untuk membantu kanak-kanak kembali ke sekolah selepas pandemik pulih dan menyokong pembelajaran jarak jauh.

“Kami tahu kanak-kanak termiskin, paling terpinggir yang sudah ketinggalan jauh mengalami kerugian terbesar – tanpa akses untuk pembelajaran jarak jauh – atau sebarang pendidikan – selama setengah tahun akademik,” kata Ashing.

Save the Children juga menggesa pemiutang komersial menangguhkan pembayaran semula hutang negara berpendapatan rendah – satu langkah untuk mendapat AS$14 bilion bagi program pendidikan.

“Jika kita membiarkan krisis pendidikan ini tidak selesai, kesan terhadap masa depan kanak-kanak akan berterusan.

“Janji dunia untuk memastikan semua kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti menjelang 2030 akan tergendala selama bertahun-tahun,” katanya memetik matlamat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Laporan itu menyenaraikan 12 negara dengan kanak-kanak paling berisiko ketinggalan: Niger, Mali, Chad, Liberia, Afghanistan, Guinea, Mauritania, Yaman, Nigeria, Pakistan, Senegal dan Ivory Coast.

Badan amal itu berkata, sebelum krisis melanda, anggaran 258 juta kanak-kanak dan remaja sudah tercicir sekolah.