111 penyeludup dan 1,494 PATI ditahan sejak 1 Mei, kata Ismail Sabri

Pihak berkuasa mengadakan Operasi Benteng di seluruh negara bagi mengelakkan sempadan negara dibolosi PATI dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan dan membendung penularan Covid-19.

PETALING JAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata 110 penyeludup, 249 tekong dan 1,494 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menceroboh sempadan negara ditahan pihak berkuasa sejak 1 Mei hingga semalam.

Katanya, turut ditahan ialah 50 bot dan 191 kenderaan.

“Polis sudah membuat 65 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 40,255 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI, terutamanya di lorong tikus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ingkar PKP

Beliau berkata, 37 individu ditahan atas kesalahan mengingkari perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), dengan 5 daripadanya direman dan baki 32 dikompaun.

“Antara kesalahan ingkar PKP termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam (1 individu), aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (16 individu) serta aktiviti melanggar SOP (20 individu).”

Ismail Sabri Yaakob

Katanya, 65,253 pemeriksaan dilakukan 2,762 pasukan pematuhan dengan kekuatan 12,343 anggota di bawah task force operasi pematuhan semalam.

“Pemantauan turut dilakukan di 3,974 pasar raya, 5,607 restoran serta 1,315 penjaja, 1,079 kilang, 3,718 bank dan 740 pejabat kerajaan. Juga 1,120 terminal pengangkutan darat, 252 terminal pengangkutan air serta 121 terminal pengangkutan udara.”

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan menjalani ujian saringan ke atas 17,152 individu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari 10 Jun hingga semalam.

“Daripada jumlah itu, 17,080 individu didapati negatif Covid-19 dan sedang menjalankan kuarantin wajib di kediaman masing-masing, manakala 72 individu didapati positif dan dihantar ke hospital untuk rawatan.”

Seramai 793 rakyat Malaysia pulang dari Australia, Indonesia, Singapura, Qatar, Myanmar, Filipina, Taiwan, India, Laos, China dan Hong Kong semalam.

“Seramai 787 individu diperintah menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka, manakala 6 individu dibawa ke hospital,” katanya sambil menambah 139 individu yang pulang ke tanah air melalui pintu masuk Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor, Pelabuhan Pasir Gudang dan Feri Pasir Gudang diarahkan menjalani kuarantin di rumah.

Beliau berkata, polis turut membuat 1,178 pemantauan pematuhan SOP kuarantin rumah dan mendapati semuanya mematuhi SOP.