3 individu ditahan buat tuntutan palsu Perkeso lebih RM540,000

Pasangan anak beranak bersama seorang lagi wanita ditahan selepas hadir memberi keterangan di SPRM Putrajaya petang tadi berhubung kes tuntutan palsu Perkeso.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 3 individu, termasuk 2 beranak disyaki melakukan pemalsuan dokumen bagi mendapatkan pampasan bernilai lebih RM540,000 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menurut sumber, pasangan anak beranak berumur 59 dan 36 tahun itu bersama seorang lagi wanita berumur 50 tahun ditahan selepas hadir memberi keterangan di SPRM Putrajaya pada 2.45 petang tadi.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai mendalangi sindiket membuat tuntutan palsu menggunakan laporan perubatan Orang Berinsurans (OB) dalam kalangan pencarum Perkeso yang membuat permohonan tuntutan hilang upaya sementara atau kekal dan pencen ilat,” kata sumber.

Sumber berkata, ketiga-tiga mereka dipercayai melakukan kegiatan itu dari 2009 hingga 2017.

Sementara itu, pengarah SPRM Putrajaya Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Menurutnya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi mendapatkan perintah reman.