6 fail rayuan sabitan bersalah bunuh Kevin Morais

Enam lelaki memohon diterbalikkan sabitan bersalah ke atas mereka atas pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Morais pada 2015. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Enam lelaki yang dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Morais pada 2015 memfailkan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan hari ini.

Mereka didapati bersalah atas dakwaan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Azman Abdullah pada Jumaat lalu.

Keenam-enamnya – bekas doktor tentera R Kunaseegaran, R Dinishwaran, AK Thinesh Kumar, M Vishwanath, S Nimalan dan S Ravi Chandaran – disabitkan bersalah membunuh Morais pada 4 Sept 2015 di Subang Jaya.

Azman memutuskan pihak pendakwaan membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.

Perbicaraan dimulakan di Mahkamah Tinggi pada Januari 2016 dengan 70 saksi memberi keterangan pada peringkat pendakwaan.