Azhar Harun dilantik speaker selepas usul dibentang

KUALA LUMPUR: Azhar Harun dilantik sebagai speaker selepas usul dibentangkan di Dewan Rakyat.

Cadangan melantik bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya itu dibacakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) pada sidang yang dipengerusikan Timbalan Speaker, Rashid Hasnon.

Azhar diundang masuk ke Dewan Rakyat, untuk mempengerusikan sesi pertamanya.

Azhar dalam ucapannya berterima kasih kepada semua wakil rakyat atas penghormatan dilantik sebagai speaker, dan penglibatan mereka dalam proses belah bahagi.

Beliau menerima jawatan itu sebagai suatu tanggungjawab, dan kemudian mengingatkan para ahli Parlimen tentang pemisahan kuasa namun tidak mengulas panjang.

Azhar kemudian meminta Khalid Samad (PH-Shah Alam) meninggalkan Dewan Rakyat kerana menganggu ucapannya.

Beliau kemudian menyentuh tentang semak dan imbang dan demokrasi berparlimen, mengingatkan kerajaan dan pembangkang supaya bertindak penuh tanggungjawab.

Azhar seterusnya mengucapkan terima kasih kepada Ariff atas khidmatnya dan menyeru semua ahli Parlimen bekerjasama dengannya.

Beliau seterusnya mengumumkan prosiding untuk melantik seorang timbalan speaker baru.

M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) bangun untuk memaklumkan Azhar tiada proses sewajarnya sebelum pelantikan speaker baru, meminta Azhar mempertimbangkan perkara tersebut.

Azhar bagaimanapun berkata apabila usul yang dibentangkan sudah selesai, tiada perbincangan lagi tentang isu itu.