Badan pemikir gesa Putrajaya gubal akta khas Covid-19 bantu peniaga selepas moratorium tamat

Cheah Chyuan Yong berkata, tiada undang-undang atau peraturan menghalang pemilik premis menuntut sewa penuh daripada penyewa, walaupun ketika pusat beli-belah tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP.

KUALA LUMPUR: Sebuah badan pemikir mengesyorkan kerajaan menggubal akta khas Covid-19 berhubung moratorium sewaan bagi memberi insentif kepada pemilik premis perniagaan dan meringankan beban penyewa berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dalam usaha membendung pandemik itu.

Pengerusi Institut Strategi Antarabangsa (ISI), Cheah Chyuan Yong berkata akta itu penting untuk memastikan perniagaan terus beroperasi dan pekerjaan tidak terjejas, seterusnya mengekalkan perbelanjaan pengguna serta mengelakkan kemelesetan.

“Pada akhir September, Malaysia akan menamatkan moratorium pinjaman bank. Pada masa itu, sama ada perniagaan sedang ‘bergelut’ atau tidak, mereka (pemilik premis) perlu meneruskan pembayaran pinjaman mereka.

“Pada masa ini, semuanya baik-baik saja dan bagus jika perniagaan menjana wang, tetapi semasa pelaksanaan PKP dan disusuli perintah lain, hasil sebilangan besar perniagaan adalah sifar atau sedikit, sehingga sangat sukar untuk penyewa membayar sewa penuh ruang komersial mereka tanpa diancam muflis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tidak ada undang-undang atau peraturan yang menghalang pemilik premis menuntut sewa penuh daripada penyewa dalam tempoh sukar ini, walaupun ketika pusat beli-belah tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP.

Katanya, sangat penting untuk memastikan sektor swasta tidak terjejas kerana ia merupakan teras aktiviti ekonomi, pekerjaan dan rangsangan dalam mengekalkan perbelanjaan pengguna serta memacu pertumbuhan ekonomi.

“Hubungan ekonomi yang kompleks ini perlu diselamatkan. Mari kita berharap Malaysia melakukan perkara betul dalam tempoh sukar ini.”