Bekas pramugara MAS pamer kebolehan reka patung Barbie dalam pakaian tradisional Borneo

Anak patung Kumang merupakan patung Barbie yang mendapat sambutan paling hangat kerana ia kelihatan begitu nyata.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020 memberi ilham baru kepada jejaka berasal dari Sarawak, Wesley Anak Juntan, atau Wesley Hilton, 33, apabila dia menghasilkan patung Barbie yang menggayakan pakaian etnik masyarakat Borneo.

Biarpun cetusan ini bukanlah sesuatu yang baru, namun koleksi patung Barbie yang dihasilkan oleh pramugara Malaysian Airlines ini mencuri perhatian banyak pihak.

Malah, Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia, Nancy Shukri turut terpanggil memuji dedikasi yang dipamerkan oleh Wesley.

Dalam satu temubual bersama FMT, Wesley memberitahu idea untuk menghasilkan patung Barbie dalam pakaian tradisonal masyarakat Borneo hadir apabila dia terpaksa mengorbankan sambutan Hari Gawai bersama keluarga gara-gara PKP yang melarang perjalanan rentas negeri.

“Saya mendapat idea ketika seluruh negara berada di bawah PKP, di mana saya tidak dapat pulang ke Sarawak untuk meraikan perayaan Gawai pada 1 Jun.

“Sebagai menghormati sambutan perayaan itu, saya menghasilkan ‘patung Kumang’, yang merupakan watak lagenda kaum Iban yang paling cantik dan rajin.

“Selepas memuat naik gambar di platform media sosial, saya mendapat banyak komen positif dan ada permintaan supaya saya buat lebih banyak, terutamanya dalam persalinan pakaian etnik lain di Malaysia Timur,” ujar Wesley yang mengambil masa sehari ke 3 hari untuk menghasilkan sebuah patung.

Berkongsi tentang cabaran yang terpaksa dihadapi dalam penghasilan patung-patung comel ini, jejaka yang menetap di Kuala Lumpur ini memberitahu dia perlu mentafsirkan kostum sebenar dalam saiz mini.

“Cabaran sebenar adalah untuk memikirkan idea bagi mentafsirkan kostum sebenar dalam ukuran patung Barbie tanpa menjejaskan perinciannya.

“Seperti kebanyakan anak jati Sarawak dan Sabah, kami sangat berbangga dengan warisan budaya kami terutama kostum.

“Seboleh-bolehnya, saya mahu kostum yang dihasilkan kelihatan sama seperti kostum sebenar. Saya percaya dengan perincian yang betul dan tepat, saya dapat berkongsi keunikan setiap kostum dan dalam masa yang sama dapat mendidik lebih banyak orang tentang keindahan budaya kami,” ulas Wesley yang telah menghasilkan 22 buah patung Barbie dalam pelbagai jenis kostum.

Terdahulu, Wesley juga pernah menghasilkan patung Barbie dalam persalinan pakaian seragam syarikat penerbangan Malaysia Airlines, Air Asia, Qatar Airways dan Malindo Air.

“Saya mula membuat kostum anak patung pada tahun 2017, dan anak patung pertama yang dihasilkan menyarungkan kebaya pramugari Malaysia Airlines.

“Idea ini muncul ketika salah seorang sahabat saya mengundurkan diri daripada syarikat penerbangan. Saya hasilkan patung itu sebagai salah satu cara untuk mengingatinya,” tambah Wesley mengakui segalanya bermula sebagai hobi.

Sebelum mengakhiri bicara, jejaka ini tanpa teragak-agak mengakui dia merancang untuk menghasilkan lebih banyak patung Barbie dalam pakaian etnik masyarakat Sabah dan Sarawak.

“Saya ingin membuat lebih banyak pakaian yang jarang dan mungkin tidak pernah dilihat oleh semua orang sebelum ini. Saya percaya ini adalah salah satu cara untuk mengekalkan budaya kita, dan memberi peluang kepada generasi baru mengenali dan menghargai kekayaan warisan kita” ujar Wesley bangga.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]