Cucu Elvis Presley maut, dipercayai bunuh diri

Pada usia 27 tahun, cucu kepada Elvis Presley ditemui mati dengan kesan luka tembakan di Calabasas, California. (Gambar people.com)

Cucu kepada mendiang Elvis Presyley, Benjamin Keough, 27, ditemui meninggal dunia pada Ahad dipercayai kerana membunuh diri.

Anak kepada Lisa Marie Presley dan Danny Keough ini pernah menjadi perhatian ramai kerana rupa parasnya yang sangat mirip dengan mendiang Elvis.

Portal hiburan TMZ melaporkan Benjamin ditemui dengan kesan luka tembakan dipercayai dilakukan sendiri di Calabasas, California.

Sumber terdekat kepada keluarga ini memberitahu pihak media, pemergian Benjamin meninggalkan luka mendalam buat Lisa Marie kerana dia sangat rapat dengan anak sulungnya itu.

Malah, Lisa Marie dan Benjamin juga memiliki tatu yang sama yang dibuat pada sambutan Hari Ibu pada 2009.

“Dia (Lisa Marie Presley) benar-benar patah hati, hatinya hancur. Namun, dia masih berusaha untuk tetap kuat untuk anak kembarnya yang berusia 11 tahun dan anak perempuannya, Riley. Lisa Marie sangat menyayangi Benjamin, ” ulas sumber terdekat keluarga ini.

Hingga saat ini, masih belum diketahui punca sebenar jejaka kelahiran Florida itu menghabiskan nyawanya dengan cara tragik.

Benjamin yang sentiasa mengelak daripada sebarang publisiti punya bakat dalam muzik.

Pada 2009, dia menandatangani kontrak bernilai US$ 5 juta bersama Universal Music.

Namun, sehingga kini belum ada lagu atau “single” yang dilancarkan di bawah naungan label muzik antrabangsa itu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]