Haniza kecoh pejabat dirantai demi tagih simpati, kata MB Selangor

Amirudin Shari berkata, pegawai Haniza Talha perlu mengisi borang dan diiringi pegawai setiausaha kerajaan negeri untuk mengambil barang mereka kerana sebahagian aset dalam pejabat bekas exco itu ialah milik kerajaan Selangor.

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menyifatkan kekecohan berpunca daripada pejabat bekas exco, Haniza Talha di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dirantai selepas perkhidmatannya ditamatkan minggu lalu hanya mainan untuk menagih simpati.

“Ia adalah proses biasa apabila jawatan exco dikosongkan. Kita benarkan pegawainya untuk ambil barang, tetapi harus diiringi pegawai setiausaha kerajaan negeri kerana sebahagian aset dalam pejabat itu adalah milik kerajaan negeri.

“Jadi, ada borang khas perlu diisi, barang apa yang boleh dibawa keluar kerana ia membabitkan dokumen rahsia yang kita tidak mahu disebarkan atau disalah guna,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan pakej rangsangan ekonomi ke-3 hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Adun Lembah Jaya itu selepas beliau dilucutkan keahlian oleh PKR pada 28 Jun lalu.

“Pada 29 Jun, sehari selepas dia dilucutkan jawatan daripada parti, saya ada jumpa dia…dia ada buat rayuan untuk kekal sebagai exco sehingga Jumaat lepas (10 Julai). Kita setuju sebab kami tahu jawatan itu perlu pengagihan tugas kepada pegawai terbabit.

“Kita telah putuskan pegawai (Haniza) untuk jumpa kita pada Isnin, tapi nak buat isu pada Sabtu. Terima kasihlah…saya kira ini mainan untuk tagih simpati.”

Jumaat lalu, Amirudin mengumumkan perkhidmatan Haniza sebagai exco Selangor ditamatkan bersesuaian keputusan PKR melucutkan keahliannya akhir bulan lalu.

Portfolio perumahan dan kehidupan bandar yang disandang Haniza kini dipangku Amirudin, dan semua program berkaitan ditangguhkan buat sementara.

Pada 28 Jun lalu, Majlis Pimpinan Pusat PKR bersetuju dengan syor Lembaga Disiplin untuk melucutkan keahlian 5 ahlinya, termasuk Haniza, Adun Seberang Jaya, Afif Bahardin, Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Nur Zarina Zakaria, Ketua Wanita Sabah, Rahimah Majid dan Adun Sungai Aceh, Zulkifli Ibrahim,

PKR menggantung keahlian Haniza sejak 6 April lalu kerana menemui bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan bekas naib presiden, Zuraida Kamarudin di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Februari lalu.

Sementara itu, Amirudin berkata, senarai nama calon menggantikan Haniza sudah diserahkan kepada Sultan Selangor.

“Pihak istana akan umumkan tarikh angkat sumpah exco baru.”