Jurutera bebas sabitan miliki kertas soalan UPSR bocor

Lima individu, termasuk 4 guru, didakwa atas kebocoran kertas soalan UPSR pada tahun 2014 yang menyebabkan ujian kertas Sains dan Bahasa Inggeris dijalankan semula.

KUALA TERENGGANU: Seorang jurutera yang didakwa memiliki kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) secara tidak sah pada 2014 dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi membatalkan sabitan 5 pertuduhan terhadapnya.

Hakim Abdul Wahab Mohamed membebaskan P Prem Kumar selepas peguam, Haresh Mahadevan, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya mengemukakan representasi kepada peguam negara Oktober lalu untuk menerima rayuan itu.

Timbalan pendakwa raya, Nik Ahmad Marzuki Nik Mohamad mengesahkan pihak pendakwaan tidak mencabar rayuan itu.

“Kami juga menarik balik rayuan balas atas hukuman yang tidak memadai itu,” katanya.

Wahab kemudian mengetepikan sabitan Prem dan hukuman penjara 3 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen di Kemaman, Terengganu 2 tahun lalu.

Prem, 40, dikdakwa menyimpan kertas soalan Bahasa Tamil, Sains dan Matematik di telefon pintarnya.

Mahkamah mendapati beliau bersalah atas semua 5 pertuduhan kerana melanggar Seksyen 8 (1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972.

Haresh, yang dibantu oleh Ramzani Idris, memberitahu FMT bahawa Prem adalah individu terakhir daripada 5 orang yang didakwa dengan kesalahan sama dan dibebaskan.

“Walaupun disabitkan oleh Mahkamah Sesyen, Prem tidak menjalani hukuman penjara kerana beliau dijamin RM3,300 sementara menunggu rayuan,” katanya.

Empat yang lain adalah guru, 2 di Seremban, Negeri Sembilan, 1 di Kuala Kangsar dan 1 di Ipoh, Perak.

Kebocoran kertas peperiksaan UPSR memaksa 473,175 murid dari 8,384 sekolah di seluruh negara menduduki semula ujian kertas Sains dan Bahasa Inggeris pada 30 September.