Lelaki anggap koronavirus satu penipuan maut selepas ke parti Covid-19

Lonjakan kes baru Covid-19 di AS dipersalahkan ke atas golongan muda. (Gambar AP)

NEW YORK: Seorang lelaki berusia 30 tahun dari Texas maut akibat koronavirus selepas menghadiri sebuah “parti Covid-19” anjuran seorang pesakit yang dijangkiti virus itu, dedah seorang doktor.

Jane Appleby, ketua pegawai perubatan Hospital Methodist di San Antonio, berkata lelaki itu menganggap virus itu ialah satu penipuan, walaupun ia meragut nyawa lebih 135,000 orang di Amerika Syarikat setakat ini.

“Seseorang akan didiagnosis dengan penyakit itu dan mereka akan mengadakan parti dengan mengundang rakan untuk melihat sama ada mereka dapat melawan penyakit itu,” kata Appleby dalam sebuah klip video yang disiarkan media AS pada Ahad.

“Satu daripada perkara yang menyedihkan beliau beritahu jururawatnya ialah ‘anda tahu tak, saya rasa saya sudah melakukan kesilapan’.

“Beliau menganggap penyakit itu satu penipuan. Beliau merasakan dirinya muda dan kuat serta tidak akan dijangkiti penyakit berkenaan.”

Appleby berkata, pesakit muda selalunya tidak sedar kesakitan yang mereka alami.

“Mereka tidak kelihatan sakit, tetapi apabila anda periksa tahap oksigen dan ujian makmal, mereka sebenarnya lebih sakit daripada apa yang kelihatan di luaran,” katanya sambil menggesa orang ramai memandang serius risiko Covid-19.

Kerajaan pimpinan Presiden Donald Trump pada Ahad mengulangi pendirian untuk membuka semula sekolah pada musim luruh ini, walaupun terdapat lonjakan kes baru Covid-19 – kebanyakannya dipersalahkan ke atas golongan muda – dan lonjakan kes tertinggi di Florida yang mencetuskan persoalan mengenai usaha AS dalam membendung penularan virus itu.

AS ialah negara paling teruk terjejas akibat Covid-19 dengan mencatatkan 3,242,073 kes positif dan 134,729 kematian setakat Sabtu.