MIDF: Pelabur asing jual RM16.9 bilion bersih ekuiti tempatan setakat ini bagi 2020

Pasaran ekuiti utama dunia berada dalam lingkungan positif minggu lepas disokong oleh prospek pemulihan ekonomi berikutan pelonggaran sekatan akibat pandemik Covid-19.

KUALA LUMPUR: Pelabur asing menjual RM16.9 bilion bersih ekuiti di Bursa Malaysia setakat ini bagi 2020, menurut penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).

Bagaimanapun jika dibandingkan dengan 6 pasaran Asia yang lain, Malaysia masih mencatatkan aliran keluar bersih dana asing ke-4 terkecil dalam tempoh tersebut.

Bank pelaburan itu berkata, pelabur luar pesisir menjual RM270 juta bersih ekuiti tempatan minggu lepas, sekali gus menjadikannya minggu ke-21 penjualan bersih asing berturut-turut, berbanding dengan RM339.4 juta pada minggu sebelumnya.

“Dari segi penyertaan, kumpulan runcit dan institusi mencatatkan kenaikan mingguan dari segi purata nilai dagangan harian (ADTV) masing-masing sebanyak 37.6% dan 34.2%.

“Pelabur asing juga merekodkan kenaikan mingguan ADTV, iaitu sebanyak 29.1% kepada RM1.3 bilion yang berada di atas paras baik pada RM1 bilion,” katanya.

Secara keseluruha, FBM KLCI meningkat 2.5% bagi minggu lepas untuk ditutup pada 1,591.84, sementara ringgit meningkat 0.5% berbanding dolar AS untuk mencecah RM4.26.

Pasaran ekuiti utama di seluruh dunia terus berada dalam lingkungan positif minggu lepas disokong oleh prospek pemulihan ekonomi berikutan pelonggaran sekatan akibat pandemik Covid-19.

“Namun aliran dana asing dalam pasaran yang kami teliti menunjukkan kenaikan didahului domestik,” menurut MIDF.

Sementara itu, Brent, yang menjadi penanda aras minyak mentah, naik 1% kepada AS$43.24 setong pada Jumaat lepas, didorong oleh prospek vaksin Covid-19 dan rawatan oleh Gilead dan Moderna serta tuntutan pengangguran awal di Amerika Syarikat juga berkurangan.