Nga letak jawatan timbalan speaker Dewan

Nga Kor Ming bersama Mohamad Ariff Md Yusof mengadakan sidang media di Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR: Nga Kor Ming meletak jawatan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat serta-merta, susulan usul menggantikan Speaker, Mohamad Ariff Md Yusof yang diluluskan hari ini.

Katanya, keputusan itu sejajar prinsipnya untuk hanya berkhidmat kepada kerajaan dipilih rakyat dan solidariti bersama Ariff.

Beliau turut menaruh harapan tinggi terhadap pengganti Ariff untuk meneruskan reformasi Parlimen.

“Ini seperti Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen yang akan memastikan doktrin pengasingan kuasa di negara ini berjaya diperlihara dan dapat dilaksanakan secepat mungkin dalam sesi ini serta berbagai lagi langkah reformasi yang kita mulakan dan berjaya laksanakan.

“Semua ini wajar diteruskan dan terus dilaksanakan demi mengangkat martabat institusi Parlimen yang sentiasa dekat dalam hati,” katanya pada sidang media bersama Ariff di Parlimen hari ini.

Terdahulu, Ariff disingkirkan daripada jawatan speaker Dewan Rakyat dengan perbezaan 2 undi.

Dalam undi belah bahagi, usul kerajaan untuk Ariff mengosongkan jawatan itu disokong 111 ahli Parlimen berbanding 109 undi menolaknya.

Sementara itu, Ariff berkata, tindakan menyingkirkannya sebagai speaker Dewan Rakyat tidak pernah berlaku di negara lain.

“Apa yang berlaku sekarang di luar kebiasaan dan saya tak tahu sama ada terdapat negara lain, melainkan Trinidad dan Tobago yang melakukan perkara sebegini.

“Trinidad usir speaker pada 1990-an sebab speaker itu lakukan kesalahan rasuah.

“Tapi, tidak ada apa-apa contoh lain selama 800 tahun. Tak pernah (ada) seorang speaker diusir sebelum tamat tempoh (penggal) Parlimen.”

Katanya, beliau tiada masalah jawatan speaker dikosongkan selagi tindakan itu dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Inilah sistem Perlembagaan kita. Seorang speaker itu mesti neutral dan bebas, tidak boleh dikongkong.

“Saya sudah sebut banyak kali jawatan speaker bukan jawatan pegawai khas.

“Kalau speaker dilantik oleh Dewan, seharusnya jawatan itu dikosongkan melalui undian dalam Dewan kita.”