Pegawai jabatan penerangan Sarawak didakwa salah guna dana sambutan Hari Kebangsaan

Normala Juatan, 40, berdepan 2 pertuduhan menyalahgunakan dana sambutan Hari Kebangsaan di Sarawak berjumlah RM30,000. (Gambar Bloomberg)

KUCHING: Seorang pegawai jabatan penerangan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas 2 pertuduhan menyalahgunakan dana untuk acara Hari Kebangsaan.

Normala Juatan, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan kepadanya di depan hakim Nixon Kennedy Kumbong.

Mengikut pertuduhan pertama, Normala didakwa menyalahgunakan RM15,000 yang diperuntukkan untuk acara Kembara Merdeka Negaraku di pejabat penerangan Samarahan jam 4.56 petang pada 6 Sept 2017.

Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa menyalahgunakan RM15,000 lagi untuk acara sama jam 4.10 petang pada tarikh dan tempat sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara 6 bulan hingga 5 tahun dan sebat serta denda.

Kumbong membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan 2 penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 1 hingga 4 Sept ini untuk perbicaraan kes.