Penembak masjid Christchurch wakili diri sendiri ketika penghukuman

(Gambar AP)

SYDNEY: Seorang lelaki Australia yang mengaku bersalah membunuh 51 jemaah Islam dalam kes tembakan terburuk di New Zealand pada 2019 memutuskan untuk mewakili diri sendiri, sebulan sebelum pendengaran penghukuman, kata mahkamah pada Isnin.

Awal tahun ini , Brenton Tarrant mengaku bersalah terhadap 51 tuduhan membunuh, 40 tuduhan cubaan membunuh dan 1 tuduhan melakukan tindakan keganasan.

Pengakuan bersalah itu menyebabkan perbicaraan 6 minggu bermula Jun tidak diperlukan.

Keputusan Tarrant untuk mewakili diri sendiri tidak akan mempengaruhi pendengaran penghukuman yang akan bermula pada 24 Ogos, kata Hakim Cameron Mander dalam minit perbicaraan.

Hakim membenarkan permohonan Tarrant dalam sidang video sebelum perbicaraan selepas berpuas hati yang Tarrant memahami haknya untuk diwakili peguam dan dia ingin mengetepikan hak itu.

Peguam Tarrant berkata, tidak ada “konflik atau masalah hubungan” antara mereka dan Tarrant, dan permintaan itu bersesuaian dengan haknya.

“Tarrant memaklumkan peguam yang dia ingin mewakili dirinya sendiri ketika sesi penghukuman.

“Kami tidak kecewa dengan keputusan Tarrant,” kata peguam yang mewakili Tarrant sejak penampilan keduanya ke mahkamah pada 5 Apr tahun lalu, melalui e-mel.

Tarikh penghukuman disahkan secara rasmi pada Isnin di Mahkamah Tinggi di Christchurch di depan mangsa yang terselamat dan wakil keluarga, menurut laporan New Zealand Herald.

Tarrant dalam tahanan polis sejak 15 Mac 2019, selepas dia ditahan dan dituduh menggunakan senjata separa automatik untuk menyasarkan orang Islam yang menghadiri solat Jumaat di 2 masjid di Christchurch.