Permohonan hak trafik udara merosot 74.3% separuh pertama tahun ini, kata Mavcom

Menurut Mavcom dalam tempoh 1 Januari-30 Jun 2020, suruhanjaya itu meluluskan 27 permohonan ATR, bersamaan 87.1% daripada jumlah permohonan yang diterima.

KUALA LUMPUR: Permohonan untuk Hak Trafik Udara (ATR) pada separuh pertama tahun ini merosot 74.3% berbanding separuh kedua 2019, menurut Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dalam laporan ATR.

Katanya, dalam tempoh tersebut (1 Jan-30 Jun 2020), suruhanjaya itu meluluskan 27 permohonan ATR, bersamaan 87.1% daripada permohonan yang diterima.

“Dua permohonan ATR untuk destinasi domestic, manakala baki 25 untuk destinasi antarabangsa.

“Kelulusan untuk laluan antarabangsa terdiri daripada 7 untuk destinasi di China, 1 untuk Amsterdam, 1 untuk Auckland dan baki 16 untuk destinasi Asia yang lain,” katanya dalam kenyataan.

Mavcom berkata, dari segi peruntukan oleh lapangan terbang, 20 ATR dikeluarkan untuk penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL), 2 dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB), dan 5 dari lapangan terbang Malaysia yang lain.

Daripada 27 kelulusan ATR pada separuh pertama tahun ini, Malaysia Airlines Bhd (MAB) dan Malindo Airways Sdn Bhd (Malindo Air) menerima jumlah kelulusan tertinggi, sebanyak 14 ATR, manakala AirAsia Bhd, AirAsia X Bhd, Raya Airways dan My Jet Xpress, masing-masing 6, 5, 1 dan 1 peruntukan.

Selain itu, terdapat 39 ATR yang diluluskan sebelum separuh pertama 2020, tetapi tidak digunakan oleh syarikat penerbangan.

ATR itu kemudian dikembalikan kepada Mavcom pada separuh pertama tahun ini.

Jumlah tertinggi ATR yang tidak digunakan adalah daripada AirAsia Group Bhd (17), diikuti oleh Malindo Air (15), MAB (5), Fly Firefly Sdn Bhd, (Firefly) (1) dan Raya Airways Sdn Bhd (1).

Bagi meringankan cabaran pentadbiran syarikat penerbangan semasa pandemik Covid-19, suruhanjaya itu memansuhkan syarat yang secara automatik membatalkan ATR yang tidak digunakan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh pemberian kelulusan kepada syarikat penerbangan, berkuat kuasa 5 Jun 2020.

Ini membolehkan syarikat penerbangan berjadual Malaysia mengekalkan portfolio ATR semasa mereka untuk tempoh yang tidak terhad sehingga diberitahu kelak.

Pemansuhan itu tidak akan terpakai kepada ATR yang dianggap tamat dan dibatalkan secara automatik serta untuk laluan yang ditamatkan oleh syarikat penerbangan atas kehendak mereka sendiri.

Laporan ATR itu dikeluarkan setiap 2 tahun sekali dan lebih banyak maklumat boleh didapati di laman web Mavcom di www.mavcom.my.