Polis pertimbang guna pistol perenjat tangani kes amuk, agresif

Polis sedang mengurangkan penggunaan senjata api, khasnya ketika berdepan individu agresif atau mengamuk.

KUALA LUMPUR: Polis sedang mempertimbangkan penggunaan pistol perenjat (taser gun) secara menyeluruh bagi pegawai dan anggotanya semasa melaksanakan tugas harian.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata pihaknya sedang mengurangkan penggunaan senjata api, terutamanya ketika berdepan orang agresif atau mengamuk.

“Polis tidak mahu tembak dan ingin menyelesaikan masalah tanpa meragut nyawa, misalnya orang yang di bawah pengaruh dadah akan bersikap agresif, maka kami ingin memakai ‘taser gun’ saja untuk menyelesaikan kes mengamuk ini.

“Meskipun penggunaan pistol perenjat ini pernah diperkenalkan sebelum ini, namun tidak banyak yang disediakan kepada anggota polis dan kebanyakannya berkualiti rendah,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman.

Beliau berkata, pistol perenjat mempunyai jangka hayat tertentu yang bergantung kepada kualiti pistol itu.

Katanya, terdapat pistol perenjat yang mempunyai jangka hayat sehingga 5 tahun dan ada yang setahun, bergantung kepada kualitinya.

“Jadi, kalau boleh polis mahu pistol perenjat yang diguna pakai polis Amerika Syarikat yang tahan lasak.”

Mengenai penggunaan kamera badan, Hamid berkata, polis dalam proses perolehan kemudahan itu di peringkat Kementerian Dalam Negeri untuk digunakan anggota peronda, terutamanya di kawasan bandar raya.

“Selepas ini, semua kereta peronda polis juga akan ada kamera, termasuk kamera badan pada anggota kami yang bertugas kerana mereka ini berinteraksi dengan orang ramai di luar sana.”

Beliau berkata, pucuk pimpinan kerajaan lama meluluskan penggunaan kamera badan, namun kini ia dalam proses menunggu tender.

Mengenai kesiapsiagaan polis menghadapi pilihan raya umum ke-15, katanya, mereka sentiasa bersedia dan mempunyai SOP untuk menghadapi PRU-15.