Warga asing miliki permit kerja dibenar masuk ke Sarawak

Sarawak mencatatkan 1 kes import Covid-19 di Bintulu hari ini.

KUCHING: Sarawak membenarkan warga asing yang memiliki permit kerja masuk ke negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri Douglas Uggah Embas bagaimanapun berkata, mereka perlu menjalani tempoh kuarantin 14 hari.

“Ujian saringan Covid-19 akan dijalankan ke atas pekerja asing pada hari ke-2 dan ke-10 selepas kemasukan mereka. Kos kuarantin dan ujian saringan hendaklah dibayar oleh majikan mereka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu Uggah berkata, 1 kes import Covid-19 dilaporkan di Bintulu hari ini, menjadikan jumlah kes di negeri itu sebanyak 580.

Beliau berkata, pesakit berusia 59 itu merupakan kakitangan kapal gas asli cecair warga Indonesia yang menuju ke Sabah dari Singapura pada 4 Julai.

Difahamkan kapal berkenaan dengan 30 anak kapal berlepas dari pelabuhan Himeji di Jepun pada 23 Jun dan berlabuh di perairan Singapura pada 3 Julai.

Uggah berkata, pesakit tersebut menjalani ujian swab di Indonesia pada 16 Jun dan kemudiannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai di Jepun sebelum kapal belayar ke Singapura.

“Keputusan kedua-dua ujian itu negatif,” katanya.

Bagaimanapun pesakit mula mengalami cirit-birit dan pengsan pada 3 Julai apabila kapal berkenaan memasuki perairan Singapura.

“Pesakit juga mengadu demam, sukar benafas dan pening kepala selepas kapal berlabuh di Singapura untuk dibaiki. Beliau diberikan rawatan, tetapi ujian saringan Covid-19 tidak dibuat ke atasnya,” kata beliau.

Uggah berkata, kesihatan lelaki itu merosot pada 11 Julai apabila kapal berkenaan menghampiri Bintulu dalam perjalanannya ke Sabah.

‘Kapten kapal membuat keputusan untuk menghubungi ejen perkapalan Bintulu bagi mendapatkan bantuan dan membawa pesakit menjalani rawatan lanjut.

“Pesakit dibawa ke Pusat Perubatan Borneo di Bintulu pada hari yang sama. Beliau kemudiannya disahkan positif Covid-19 dan dirujukkan ke Hospital Bintulu.”

Uggah berkata, 9 individu kini menerima rawatan di wad pengasingan dan seorang di Unit Rawatan Rapi (ICU).