
KUALA LUMPUR: Seramai 214,398 warga asing tidak mempunyai rekod keluar dari Malaysia dari 2016 hingga 2018, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 3 yang dibentangkan di Parlimen hari ini.
Menurut laporan itu, sistem MyIMMs (Sistem Imigresen Malaysia) tidak dapat mengesahkan pergerakan mereka kerana berlaku gangguan sistem sebanyak 4,489 kali sepanjang 3 tahun itu.
“Pada pendapat Audit, sistem MyIMMs yang kerap ‘downtime’ dan berlakunya isu teknikal pengoperasian sistem boleh menjejaskan integriti data bagi rekod pergerakan keluar/masuk di pintu sempadan negara.
“Jabatan Imigresen menyatakan setakat 15 April 2020, daripada 214,398 warga asing itu, 5,750 orang disahkan keluar dan 8,404 orang memiliki pas jangka panjang seperti Pas Lawatan Ikhtisas, Pas Lawatan Kerja Sementara, Pas Pelajar dan Pas Residen.
“Selain itu, 1,765 orang diambil tindakan unit penguatkuasaan, manakala selebihnya 198,479 warga asing tiada rekod keluar.”
Laporan itu berkata, terdapat 29 “patch on” sistem lain yang berurusan dengan sistem MyIMMs menyebabkan sistem menjadi tidak stabil.
Berikutan ketidakstabilan itu, terdapat data yang dimasukkan pegawai seperti pengesahan keluar/masuk di pintu masuk tidak dapat direkodkan sistem atau tidak dapat diintegrasi dengan sistem MyIMMs.
“Sistem berkenaan juga tidak dapat melaksanakan proses padanan data bagi setiap pelawat sekiranya pelawat tersebut tidak melakukan pergerakan keluar/masuk berulang kali setiap hari (pelawat sempadan).”
Katanya, Jabatan Imigresen melaksanakan penambahbaikan bermula Mac lalu bagi membolehkan proses padanan data dilaksanakan pada bila-bila masa.
Daripada 214,398 warga asing itu, Jabatan Audit Negara memilih 300 warga asing sebagai sampel.
“Berdasarkan sampel itu, selain tiada rekod keluar, pihak Audit turut mendapati warga asing berkenaan tinggal di Malaysia melebihi tempoh dibenarkan, iaitu dari 121 hingga 1,087 hari.”