826,100 penganggur pada Mei, naik 0.3%

Mereka yang tidak dapat bekerja buat sementara terbabit dalam sektor perkhidmatan, terutamanya industri berkaitan pelancongan, penginapan, perancang acara, kesenian dan hiburan, aktiviti sukan dan rekreasi serta perkhidmatan lain. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kadar pengangguran meningkat 0.3% atau 47,300 orang kepada 5.3% atau 826,100 orang pada Mei lalu berbanding sebulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Uzir Mahidin berkata, peningkatan bulanan itu lebih rendah berbanding Mac yang berjumlah 168,300 orang.

“Pengurangan itu berkemungkinan disebabkan pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan bagi mencapai sasaran tertentu, di samping lebih banyak perniagaan dibenarkan beroperasi berikutan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dalam bulan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jumlah penduduk yang tidak bekerja buat sementara waktu juga berkurangan lebih 50% kepada 2.27 juta orang berbanding 4.87 juta orang pada April lalu.

Katanya, kumpulan itu, yang kemungkinan besar tidak dapat bekerja dari rumah, tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka mempunyai pekerjaan dan akan kembali bekerja semula.

Daripada jumlah tenaga buruh pada Mei lalu, individu yang bekerja berkurangan 0.3% kepada 14.89 juta orang berbanding -2% pada April.

Keadaan itu menyebabkan nisbah guna tenaga kepada penduduk yang memberikan maklumat mengenai kemampuan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga terus menurun sebanyak 0.4% kepada 64.4%.

Mereka yang tidak dapat bekerja buat sementara terbabit dalam sektor perkhidmatan, terutamanya industri berkaitan pelancongan, penginapan, perancang acara, kesenian dan hiburan, aktiviti sukan dan rekreasi serta perkhidmatan lain.

Uzir berkata, jumlah pekerja dalam sektor pembinaan turut berkurangan selepas wujud kluster Covid-19 membabitkan pekerja asing.

Katanya, individu yang bekerja sendiri terus berkurangan sejak Mac lalu, dengan 2.42 juta masih bekerja sendiri pada Mei, menurun 161,500 orang berbanding April lalu.

“Kebanyakannya bekerja secara gaji harian di pasar tani, pasar malam dan gerai makanan serta pekebun kecil.

“Berikutan fasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) masih tidak membolehkan perniagaan mereka beroperasi seperti biasa, kumpulan bekerja sendiri ini berisiko tinggi kehilangan kerja dan pendapatan.”

Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada Mei mencecah 68%, menurun 0.1% berbanding bulan sebelumnya disebabkan peningkatan aliran keluar tenaga buruh.