Azeez tarik balik sindiran ‘warna kulit’, mohon maaf

Abdul Azeez Abdul Rahim.

KUALA LUMPUR: Abdul Azeez Abdul Rahim (PN-Baling) menarik balik dan memohon maaf atas sindiran warna kulit yang mencetuskan kekecohan pada hari pertama Dewan Rakyat bersidang semalam.

Azeez akur dengan arahan Speaker Azhar Harun yang mahu beliau menarik balik kenyataan itu.

“Saya akur. Saya tarik balik dan mohon maaf,” katanya di Dewan Rakyat.

Sebelum itu, Azhar, selepas meneliti hansad, berkata kata-kata Azeez menyinggung perasaan dan mengarahkan wakil rakyat Baling itu menariknya balik dan memohon maaf.

Isu warna kulit menjadi perdebatan semalam apabila Azeez, ketika Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) sedang berucap, berkata “gelap, tak nampak” dan “pakailah bedak”.

Azeez menjelaskan beliau tiada niat untuk memanggil sesiapa “gelap”, mengatakan beliau pernah duduk di tempat duduk Kasthuri yang menurutnya ada isu pencahayaan.

“Selalu tak dapat perhatian datuk speaker. Saya kata gelap, kawasan itu tak nampak,” katanya.

Beliau berkata tiada sebab untuk memanggil sesiapa “gelap” kerana “diri saya sendiri pun gelap”.

Sementara itu, Kasthuri berterima kasih kepada speaker atas arahan itu.

“Terima kasih huraian tuan speaker tentang semalam. Tak patut berlaku, telah berlaku.

“Walau apa pun alasan Baling, niat di sebalik kenyataan tersebut bukan kata tempat ini gelap, kurang cahaya.

“Kenapa perlu ungkit isu ‘pakailah bedak’? Itu komen sangat ‘sexist’. Gelap ini satu kenyataan rasis,” katanya.