Buka semula 138 sekolah di 3 daerah Sarawak ditangguh ke 3 Ogos

Pembukaan semula sekolah di kawasan hijau di luar Kuching, Padawan dan Samarahan akan diteruskan seperti jadual, iaitu esok. (Gambar Bernama)

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak hari ini memutuskan pembukaan semula sekolah menengah di daerah Kuching, Padawan dan Samarahan yang dijadualkan esok ditangguhkan sehingga 3 Ogos nanti.

Pengerusinya, Douglas Uggah Embas berkata penangguhan itu melibatkan kelas peralihan, Tingkatan 1 hingga 4 dan 6 rendah serta Tahun 5 dan 6 yang sepatutnya bermula esok, selain Tahun 1 hingga 4 yang dijadualkan bermula 22 Julai ini.

“Sekolah yang telah dikenal pasti sebanyak 138, iaitu 87 sekolah di Kuching, 48 sekolah di Padawan dan 3 sekolah di Samarahan. Bagi kelas prasekolah, Tingkatan 5 dan 6 atas, sesi persekolahan diteruskan seperti biasa,” katanya pada sidang media Covid-19 di sini, hari ini.

Timbalan ketua menteri I itu berkata, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan nasihat Jabatan Kesihatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara Sarawak dan persetujuan bersama semua pihak, termasuk wakil Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Sarawak.

“Keputusan ini dibuat berikutan kes penularan Covid-19 di Kuching yang semakin meningkat. Bagi sekolah kawasan hijau di luar daerah Kuching, Padawan dan Samarahan, jadual pembukaan sekolah akan bermula seperti dijadualkan, iaitu pada 15 Julai.”

Sementara itu, Uggah berkata, pengoperasian bagi taska dan tadika berjalan seperti biasa mengikut SOP ditetapkan.

Bagi majlis sosial melibatkan himpunan orang ramai, beliau berkata, Kuching kekal menetapkan hanya 250 orang dibenarkan, manakala daerah lain yang berstatus hijau boleh meningkatkan kapasiti mengikut SOP dikeluarkan.