Hampir 35% kapal milik agensi keselamatan maritim rosak

Siasatan Jabatan Audit Negara mendapati 34.6% kapal milik agensi dan jabatan keselamatan mengalami kerosakan dan tidak berfungsi dengan baik.

PUTRAJAYA: Siasatan Jabatan Audit Negara mendapati sebanyak 34.6% kapal milik agensi dan jabatan keselamatan mengalami kerosakan dan tidak berfungsi dengan baik.

Ketua Audit Negara, Nik Azman Majid berkata, ia mengakibatkan masih berlaku penyeludupan barangan, pencerobohan dan penyeludupan warga asing serta pencerobohan nelayan di zon maritim Malaysia (ZMM).

Laporan audit juga mendapati sistem pengawasan laut Malaysia (Swasla) tiada di perairan Pantai Timur Semenanjung, Sarawak dan Pantai Timur Sabah bagi mengawasi aktiviti pencerobohan dan penyeludupan.

“Sebanyak 64.3% Remote Sensor Sites (RSS) komponen system Swasla didapati rosak manakala 44.4% RSS mempunyai peralatan tidak boleh diganti semula kerana alat ganti tiada di pasaran,” katanya pada sidang media Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 3 hari ini.

Selain itu, Azman berkata, terdapat RSS milik Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) mempunyai sudut buta bagi radar pengesanan dan kamera penglihatan.

“Walaupun tahu aset ini tidak berfungsi dengan baik tetapi agensi tetap menjalankan operasi mengikut SOP yang disediakan. Ini memberi kesan negatif kepada ekonomi dan keselamatan negara.

“Kita bukan mahu mengkritik kelemahan jabatan tetapi membuka mata kerajaan untuk menambah peruntukan sedia ada supaya perkhidmatan agensi maritim ditambah baik,” katanya.

Sementara itu, laporan audit mendapati sebanyak 89 kali kapal agensi penguatkuasaan China menceroboh perairan Sarawak dan Sabah dari 2016 hingga 2019.

Pengauditan membabitkan penilaian terhadap aktiviti kawalan keselamatan dan penguatkuasaan zon maritim Malaysia bagi tempoh 2016 hingga 2019 yang meliputi 2 bidang utama audit iaitu prestasi dan pengurusan aktiviti.

Ia membabitkan 9 jabatan/agensi iaitu Majlis Keselamatan Negara, tentera laut, APMM, polis marin, imigresen, Jabatan Laut, Jabatan Perikanan, kastam dan Jabatan Hal Ehwal Maritim.