Pembangkang bersiap sedia untuk pilihan raya, kata Shafie

Calon perdana menteri pembangkang, Shafie Apdal menarik perhatian kepada pengundian untuk pelantikan speaker Dewan Rakyat, mengatakan perdana menteri tidak dapat majoriti mudah.

KUALA LUMPUR: Pembangkang bersiap sedia untuk pilihan raya awal selepas pengundian di Dewan Rakyat minggu ini menyaksikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mungkin tiada sokongan majoriti di Parlimen, kata Shafie Apdal, pesaing untuk jawatan tertinggi itu.

Muhyiddin semalam berjaya menyingkir speaker Dewan Rakyat dengan kelebihan 2 undi. Namun beliau kurang 1 undi untuk dapat majoriti mudah, apabila hanya separuh daripada 222 ahli Parlimen menyokong usul itu.

“Bukan majoriti mudah pun. Jelas sekali Parlimen tergantung,” katanya kepada pemberita hari ini.

“Pilihan raya tak lama lagi,” katanya, menjangkakan pilihan raya umum akan diadakan sebelum penggal tamat pada 2023.

Beliau berkata pembentangan dan pengundian pada Belanjawan 2021 November ini akan menguji kerajaan.

Malaysia, ekonomi ke-3 terbesar di Asia Tenggara, bergelut dengan ketidakpastian politik sejak Muhyiddin menjadi perdana menteri pada Mac menerusi pakatan dengan Umno yang tewas pada pilihan 2018.

Pembangkang, yang kini termasuk perdana menteri sebelum ini, Dr Mahathir Mohamad, menuduh Muhyiddin merampas kuasa dengan peralihan sokongan dan bukan melalui pilihan raya, berikrar untuk menyingkir beliau.

Pembangkang bagaimanapun bertelagah tentang siapa calon perdana menteri mereka. Mahathir, 99, dan seterunya, Anwar Ibrahim masing-masing mengisytiharkan hasrat sebagai calon gabungan itu, tetapi Mahathir kemudian menyokong Shafie.

Keahlian Shafie, orang lama Umno, digantung pada 2016 kerana mempertikaikan cara perdana menteri ketika itu, Najib Razak menangani skandal 1MDB.

Beliau kemudian meninggalkan Umno untuk menubuhkan parti sendiri di Sabah, dan menjadi ketua menteri selepas pilihan raya 2018.

Shafie masih mempertimbangkan sama ada mahu menjadi calon, dan mendapat mesej sokongan daripada beberapa ahli Parlimen PKR.

Pembangkang perlu bekerja lebih keras untuk menampilkan barisan yang bersatu dan mengemukakan dasar ekonomi yang jelas untuk pulih daripada pandemik koronavirus dan menawan hati pengundi, katanya.