PH bidas proses penyingkiran Ariff

Bekas pengerusi SPR, Azhar Harun yang menggantikan Ariff Yusof sebagai speaker Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) hari ini mengkritik cara speaker Dewan Rakyat ditukar semalam, menyifatkannya “titik hitam” buat demokrasi negara.

Gabungan itu dalam kenyataan berkata ia kesal dengan proses penyingkiran Ariff Yusof.

Cadangan untuk menyingkir Ariff diusulkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan lulus dengan sokongan nipis 111 ahli Parlimen berbanding 109 yang menolak.

Nga Kor Ming kemudian meletakkan jawatan timbalan speaker.

PH kecewa kerana hanya 4 ahli Parlimen dibenarkan membahaskan usul menyingkir Ariff, dengan masing-masing hanya diberi 10 minit.

Katanya, usul yang tidak pernah berlaku sebelum ini itu perlu lebih banyak masa untuk dibahaskan.

“Ini bukanlah satu duluan (precedent) yang membanggakan, lebih-lebih lagi apabila prosesnya tempang sedemikian rupa.”

PH juga berkata proses melantik speaker baru seharusnya lebih demokratik.

“Hujah pembangkang agar masa 14 hari diberikan untuk menamakan calon tidak diendahkan.

“Malah, calon Yang Dipertua juga tidak dipersetujui secara undian di dalam Dewan.”

PH juga menuduh kerajaan yang dilihat mahu meletakkan Parlimen di bawah telunjuk eksekutif, menyifatkannya sebagai ancaman kepada demokrasi.

Semalam, bekas ketua Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Harun mengambil alih jawatan speaker Dewan Rakyat yang baru selepas usul untuk menyingkirkan Ariff lulus.

Sementara itu, ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said dilantik timbalan speaker baru.