PN masih boleh tadbir negara walau menang tipis usul tukar speaker, kata Khairy

Khairy Jamaluddin berkata, perkara paling penting ketika ini ialah memulihkan ekonomi negara selepas krisis Covid-19 sebelum mempertimbangkan untuk mengadakan pilihan raya.

KUALA LUMPUR: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih boleh mentadbir negara, walaupun hanya memenangi majoriti tipis dalam undian usul pengosongan jawatan speaker Dewan Rakyat semalam.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, Kabinet masih berfungsi dengan baik dan yakin rang undang-undang baru yang dibawakan kerajaan boleh diluluskan di Dewan Rakyat.

“Kehadiran kita harus diwajibkan, terutama ketika ada suara untuk memastikan perundangan baru diluluskan.

“Harus memastikan tidak boleh ke tandas semasa pengundian berlangsung. Kita telah ditugaskan menteri dan timbalan menteri mesti wajib hadir di dewan. Kami mempunyai jadual dan sudah susun. Kami bersedia untuk ini,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau ditanya kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ahmad Shabery Cheek yang berkata, kemenangan tipis PN semalam itu jelas menunjukkan kerajaan baru tidak stabil, lebih-lebih lagi apabila tiba sesi bajet.

Katanya, banyak pengundian akan berlaku dan setiap ahli Parlimen tak boleh ke mana-mana.

“Perdana menteri, menteri dan timbalan menteri mesti bekerja dalam Parlimen. Menteri Luar tak boleh keluar. Banjir pun tak boleh berada di kawasan.

“Sulit untuk kerajaan berfungsi. Jalan terbaik, bubar Parlimen. Dapatkan mandat baru,” kata Shabery.

Semalam, Mohamad Ariff Md Yusof disingkirkan daripada jawatan speaker Dewan Rakyat dengan perbezaan 2 undi.

Dalam undian belah bahagi, usul kerajaan untuk Ariff mengosongkan kerusi itu disokong 111 ahli Parlimen berbanding 109 yang menolak.

Khairy berkata, perkara paling penting ketika ini ialah memulihkan ekonomi negara selepas krisis Covid-19 sebelum mempertimbangkan untuk mengadakan pilihan raya.

“Ini adalah penting bagi pemulihan pandemik untuk memastikan tidak akan ada gelombang jangkitan Covid-19 yang baru.”

Tetapi, katanya, kerajaan PN memerlukan mandat lebih kuat dalam jangka panjang.

“Mandat lebih kuat untuk ekonomi diperlukan untuk memerintah. Kita perlu fokus pada pemulihan segera dan mempersiapkan belanjawan pada November dan Rancangan Malaysia Ke-12 pada Januari.”