Selamatkah penggunaan pinggan mangkuk ayan kegilaan terbaru suri rumah?

Pinggan-mangkuk ayan atau enamelware kini menjadi kegilaan ramai. (Gambar pinterest)

Tidak beberapa lama dulu, ramai kaum wanita, terutamanya suri rumah tergila-gilakan pinggan-mangkuk dengan motif berwarna-warni untuk dijadikan koleksi.

Terkini, pinggan-mangkuk ayan atau dikenali sebagai “enamelware” menjadi viral.

Ramai yang sanggup berhabisan demi mendapatkan koleksi pinggan-mangkuk “vintage” ini yang kononnya membangkitkan nostalgia ketika di zaman kanak-kanak.

Tambah meracun fikiran apabila koleksi “enamelware” ini tampil dengan rekaan moden dan elegan.

Persoalannya, adakah pinggan mangkuk yang bahan asasnya diperbuat daripada keluli, besi atau aluminium ini selamat digunakan?

Memang benar ia disaluti dengan porselin, tetapi jika pembuatan tidak melalui proses pembuatan yang betul, ia boleh memudaratkan kesihatan.

Public Health Malaysia memaklumkan faktor keselamatan mungkin tidak terjamin jika menggunakan produk ayan daripada pengeluar yang tidak diketahui.

Selain itu, penggunaan pinggan ayan antik juga tidak digalakkan kerana regulasi sebelum ini tidak ketat.

Pinggan mangkuk ayan yang rosak seperti retak, kemek, bercalar dan berkarat juga perlu dielakkan penggunaannya.

Kebimbangan utama adalah pencemaran logam berat seperti plumbum, kadmium dan uranium.

Bahan-bahan ini biasanya digunakan untuk memberi warna menarik pada pinggan mangkuk ayan.

Kesan terdedah kepada bahan ini menyebabkan risiko masalah perkembangan otak kepada anak anak.

Untuk jangka masa panjang akan akibatkan kerosakan organ lain seperti buah pinggang, hati, tulang dan kanser.

Ini bermakna, jika anda terpesona dengan pingan-mangkuk jenis ini dan mahu menggunakan yang antik, gunakan sebagai hiasan seperti jadikan empat letak bunga hiasan ataupun pelapik pinggan lain.

Jika mahu gunakan untuk menjamu selera, pilihlah jenama yang boleh dipercayai dan disahkan selamat.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]