Selangor larang hisap rokok, vape dan minum arak di taman permainan, rekreasi

Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang melarang minum arak, menghisap rokok dan vape di taman permainan serta rekreasi.

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengumumkan larangan menghisap rokok dan vape serta minum arak di semua taman permainan dan rekreasi di seluruh negeri itu berkuat kuasa serta-merta.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata, larangan itu dibuat selepas kerajaan negeri meluluskan pindaan Undang-undang Kecil Taman 2005 Pihak Berkuasa Tempatan Selangor (UKK Taman 2005).

“Kerajaan Selangor meluluskan untuk menambah aktiviti minum arak dan merokok, termasuk vape ke dalam senarai kesalahan UKK Taman 2005.

“Sebelum ini, senarai kesalahan di UKK Taman tidak menyatakan aktiviti minum arak dan menghisap rokok sebagai aktiviti dilarang,’’ katanya di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau berkata, Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang melarang minum arak, menghisap rokok dan vape di taman permainan serta rekreasi.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah melakukan pemantauan dan mana-mana pihak yang dikesan melanggar peraturan itu boleh didenda RM1,000 bagi setiap kesalahan.

“Demi keselesaan dan kesihatan pengunjung, terutamanya kanak-kanak dan warga emas untuk beriadah, bersukan dan melakukan aktiviti kekeluargaan, lebih-lebih lagi semasa pasca Covid-19, tiba masanya untuk kita melarang perbuatan minum arak dan merokok di taman permainan dan rekreasi.

“Orang awam yang melihat perbuatan ini juga boleh menyalurkan aduan mereka kepada PBT di kawasan masing-masing supaya tindakan susulan ke atas pihak berkenaan dapat dibuat,.”