Tony Pua gesa kerajaan sita kapal layar A+ dibeli guna dana dikaitkan 1MDB

A+ yang dahulu dikenali sebagai Topaz dikatakan bernilai RM2.93 bilion.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Damansara daripada DAP menggesa Putrajaya mengemukakan tuntutan antarabangsa untuk merampas sebuah kapal layar mewah yang dibeli menggunakan dana dikaitkan dengan 1MDB.

Tony Pua dalam kenyataan hari ini berkata, kapal layar bernilai RM2.93 bilion itu yang dahulunya dikenali sebagai Topaz, perlu dilelong dengan hasilnya dipulangkan kepada Malaysia.

Terdahulu, akhbar Singapura Straits Times (ST) melaporkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengesahkan kapal layar itu, yang kini dikenali sebagai A+, dibeli menggunakan dana dikaitkan dengan 1MDB.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan jika DoJ akan memohon untuk kapal layar itu dijadikan sebahagian usahanya dalam merampas aset 1MDB.

Menurut DoJ, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low, menyewa A+ sekurang-kurangnya 5 kali antara 2013 dan 2014 di pelbagai lokasi.

Hari ini, Pua berkata, pentadbiran terdahulu Pakatan Harapan mempunyai hubungan rapat dengan DoJ sehingga aset disita berjumlah RM2.1 bilion dikembalikan dalam bentuk wang tunai.

“Ini tidak termasuk bantuan disediakan DoJ dalam penyitaan sebuah lagi kapal layar, Equanimity yang kemudiannya dilelong dengan harga AS$126 juta (RM538 juta),” katanya yang yakin hasil daripada rampasan kapal layar baru itu turut akan dipulangkan kepada Malaysia.

Walaupun pendedahan A+ dibeli menggunakan dana dikaitkan dengan 1MDB oleh sebuah syarikat swasta, Oceanus Maritime pada 2012, Pua berkata, belum ada tuntutan dibuat ke atas A+ sehingga kini.

“Kami minta kerajaan Malaysia segera memfailkan tuntutan antarabangsa terhadap Oceanus Maritime untuk menuntut pemulangan AS$160.9 juta yang diseleweng dan ganti rugi tambahan yang sesuai.

“Jika Oceanus Maritime gagal melakukannya, kita mesti menuntut rampasan A+ seperti yang dilakukan terhadap Equanimity dan membuat lelongan antarabangsa kapal layar mewah,” katanya sambil menambah hasil daripada lelongan itu mesti digunakan untuk membayar balik hutang 1MDB.