Utara atau selatan? Pakar berbeza pandangan tentang jajaran ECRL

PETALING JAYA: Seorang pakar pengangkutan menyokong langkah kerajaan kembali ke jajaran asal bahagian tengah Laluan Kereta Api Pantai Timur yang menuju ke arah utara Kuala Lumpur.

Tetapi seorang lagi pakar berhujah, jajaran arah selatan lebih menjimatkan – sekitar RM20 bilion – dan memudahkan lagi hubungan kereta api dan udara.

Cakap-cakap mengenai penjajaran semula ECRL mencetuskan pertikaian di media sosial antara Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong dan bekas menteri, Loke Siew Fook.

Jajaran arah utara yang dipilih pentadbiran Barisan Nasional diubah kerajaan lepas, yang menjajarkannya ke arah selatan dan memendekkan laluan sebanyak 40km, menyebabkan pengurangan kos kira-kira RM20 bilion.

Perunding pengangkutan, Goh Bok Yen percaya cadangan untuk kembali ke jajaran asal ke arah utara itu langkah yang betul.

“Jajaran arah utara didorong permintaan. Di situ terdapat pergerakan pengangkut dan penumpang yang sibuk melalui kawasan yang padat dengan industri dan penduduk, berbanding jajaran arah selatan.

“Idea di sebalik ECRL ini adalah jambatan darat yang menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung, menyahkan keperluan untuk membawa kapal keliling Singapura, dan rugi jika tidak dimanfaatkan untuk kegunaan hub perindustrian di sepanjang laluan itu,” katanya.

Ini akan memastikan ketersambungan yang lebih baik untuk industri dan paling penting, kemapanannya kerana mempunyai muatan dan penumpang mencukupi.

Goh berkata, jika ECRL dijajarkan ke selatan, yang mana permintaan tidak mencukupi, akan menyebabkan kerugian yang mungkin bertahun-tahun atau puluhan tahun sehingga permintaan meningkat.

Katanya, jajaran ECRL yang berpusat di selatan melangkau Serendah, yang mempunyai hub transit kargo yang dihubungkan dengan rangkaian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan industri berat seperti Perodua, Tan Chong Motors, dan UMW.

“Bagi lalu lintas penumpang, jajaran di utara memasuki stesen LRT Taman Melati yang merupakan hub transit penumpang pelbagai model untuk Pantai Timur.

“Bas ekspres berhenti di sana, penumpang boleh dihubungkan ke LRT dan MRT. Jika anda pilih jajaran arah selatan, kereta api akan melalui kawasan kurang membangun seperti Nilai, Kajang selatan dan Putrajaya dengan lalu lintas penumpang yang sedikit,” katanya.

‘ECRL harus ke selatan’

Sementara itu, Rosli Azad Khan berkata jajaran lama “direncana dengan tergesa-gesa tanpa perancangan tepat” yang menyebabkan kos bernilai RM60 bilion.

Katanya, Malaysia boleh menjimatkan sekitar RM20 bilion yang boleh dibelanjakan ke sektor lain seperti kesihatan dan pendidikan, dari penjajaran arah selatan.

Walaupun sekitar RM40 bilion pun, kosnya terlalu mahal untuk landasan kereta api tunggal yang tidak kritikal bagi strategi logistik negara secara keseluruhan.

“Perkhidmatan kereta api, sama ada penumpang dan pengangkut yang bergerak di satu landasan, tidak akan dapat menandingi kelajuan pergerakan di lebuh raya sedia ada.

“Oleh itu, ECRL tidak akan beri kelebihan. Tidak ada kelebihan melakukan penjajaran di utara, yang mana keseluruhan pengambilan tanah dan kos pembinaan jauh lebih tinggi,” katanya.

Katanya, kos tanah yang tinggi di koridor bandar juga tidak akan mendorong penyertaan sektor swasta untuk menghubungkan rel persendirian ke ECRL.

ECRL juga boleh memainkan peranan lebih berkesan dalam hubungan kereta api dan udara melalui penjajaran di selatan kerana terdapat sambungan rel ekspres (ERL) ke terminal lapangan terbang dan ke laluan transit MRT2 Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya.

“Jika kerajaan memikirkan untuk menggunakan ECRL untuk memacu pertumbuhan ekonomi baru, maka penjajaran baru melalui barat daya Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor selatan akan memberikan peluang lebih baik.

“Kos pengambilan tanah akan jauh lebih rendah kerana kebanyakannya tanah pertanian,” katanya.

Sektor swasta juga boleh mengambil bahagian dengan membina pelabuhan darat dan mempunyai rel persendirian untuk muatan seperti barangan pembuatan, minyak sawit, simen dan bahan binaan seperti agregat dan produk keluli.

“Terdapat lebih banyak kemampuan perkilangan di selatan Lembah Klang berbanding di utara dan ini akan menyediakan pangkalan kargo dan penumpang yang diperlukan untuk ECRL,” katanya.

Rosli berkata, statistik penduduk juga menunjukkan terdapat lebih banyak orang yang tinggal di selatan Lembah Klang berbanding di utara.