189 jemaah tabligh Malaysia terkandas di India dalam situasi kritikal, kata menteri

Hishammuddin Hussein berkata, 125 jemaah tabligh di New Delhi sudah menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada pertuduhan pada 9 dan 10 Julai lalu.

KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Hishammuddin Hussein berkata 189 jemaah tabligh yang masih terkandas di India kini dalam keadaan kritikal kerana ada yang ditahan atas dakwaan menyalahgunakan visa mereka bagi tujuan keagamaan.

Katanya, daripada jumlah itu, 157 orang berada di New Delhi, Chennai (23) dan Mumbai (9).

“Semua jemaah Tabligh ini terkandas di India sejak negara tersebut melaksanakan penguatkuasaan peraturan bagi mengekang penularan Covid-19 bermula Mac lalu.

“Kebanyakan jemaah tabligh ini ditahan atas tuduhan menyalahgunakan visa lawatan sosial bagi menjalankan aktiviti keagamaan,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Setakat hari ini, beliau berkata, 125 jemaah tabligh di New Delhi sudah menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada pertuduhan pada 9 dan 10 Julai lalu.

“Kita sedang menyelaras usaha membawa pulang semua jemaah tabligh itu menerusi sebuah pesawat sewaan khas pada 17 Julai ini.

“Jumlah jemaah yang dijangka dibawa pulang menerusi pesawat ini seramai 136 orang, termasuk 9 di Kolkata dan 2 di Sahranpur.”

Hishammuddin berkata, baki 52 jemaah tabligh Malaysia masih menjalani proses perundangan dan seorang lagi jemaah yang berada di Amravathi, dibebaskan daripada sebarang pertuduhan.

Katanya, kumpulan yang dikategorikan dalam situasi kritikal itu ialah rakyat yang berada di luar negara untuk lawatan jangka pendek, seperti melancong, lawatan perniagaan, khidmat profesional, melawat ahli keluarga atau keagamaan dan urusan lain.

Beliau berkata, keseluruhan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara ketika ini seramai 317 orang di 37 negara, manakala Wisma Putra mengenal pasti 10,159 warganegara berpotensi terkandas di serata dunia.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 9,270 orang terdiri daripada pelajar tahun akhir.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, hanya 2,000 orang dari Singapura dan Malaysia dibenar menggunakan kemudahan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) setiap hari, selepas rentas sempadan secara bersyarat kedua-dua negara mula dilaksanakan 10 Ogos ini.

Bagi inisiatif Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) yang merupakan satu perkhidmatan untuk tujuan rasmi dan perniagaan penting, 400 orang dari setiap negara dibenar menggunakan kemudahan itu setiap minggu.

Katanya, Malaysia dan Singapura akan memperhalusi 2 lagi kategori berkaitan yang membenarkan perjalanan rentas sempadan setiap hari atas tujuan kerja yang dijangka membabitkan kira-kira 200,000 rakyat Malaysia serta Singapura.

“Paling utama, kelulusan kepada cadangan ini tertakluk kepada keupayaan kedua-dua negara melaksanakan ujian saringan Covid-19 harian terhadap pekerja yang berulang alik.”

Mengenai isu pertikaian di Laut China Selatan, beliau berkata, buat masa ini tiada kapal perang China berada di perairan itu.

Ia susulan Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 3 yang mendedahkan kapal Pasukan Pengawal Pantai China (CCG) dan Tentera Laut Pembebasan Rakyat China (Plan) direkod menceroboh perairan Malaysia sebanyak 89 kali antara 2016 hingga 2019.

“Kapal-kapal China yang ada di perairan kita sudah tiada lagi. Bagaimana cara kita lakukannya? Itu antara kita dan kerajaan China. Pendirian kita jelas, kita tak kompromi (soal kedaulatan).”

Katanya, sepanjang 100 hari beliau menerajui Wisma Putra, hubungan Malaysia dengan China, India, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu yang dingin sebelum ini sudah pulih.